fbpx

SPRM telah kemuka lucut lebih RM169 juta milik Ismail Sabri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) telah memfailkan permohonan untuk melucutkan lebih RM169 juta wang tunai milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Berdasarkan notis permohonan itu, SPRM menamakan bekas Setiausaha politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd. Yunus dan Ismail Sabri masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.

Menurut notis yang difailkan, permohonan tersebut dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Ia yang mana selepas SPRM berpuas hati bahawa wang-wang yang disimpan oleh Mohammad Anuar adalah milik Ismail Sabri dan berkait dengan suatu kesalahan di bawah Seksyen 36(2) ASPRM 2009.

Wang-wang tunai yang dimohon untuk dilucutkan hak ialah RM14,772,150; SGD$6,132,350 (Dolar Singapura); AS$1,461,400 (Dolar Amerika) dan CHF 3 juta (Swiss Franc).

Turut dimohon untuk dilucutkan hak ialah wang tunai berjumlah €12,164,150 (Dolar Euro); ¥363,000,000 (Yen), £50,250 (Pound Sterling); NZ$44,600 (Dolar New Zealand) AED 34,750,000 (Emirati Dirham) dan AU$352,850 (Dolar Australia) selain perintah-perintah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sebelum ini, pada 25 Jun lalu, kesemua aset termasuk wang tunai berjumlah RM170 juta dan 16 kilogram jongkong emas yang ditemui dalam ‘safehouse’ yang dikaitkan dengan Ismail Sabri bakal dilucutkan hak.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata pihaknya akan memohon melucutkan kesemua aset itu dalam masa terdekat.

Ismail Sabri sebelum ini beberapa kali hadir di Ibu Pejabat SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan perbelanjaan serta perolehan dana untuk promosi dan publisiti program Keluarga Malaysia ketika tempoh perkhidmatan beliau sebagai Perdana Menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022.

Pada sidang media Mac lalu, SPRM mempamerkan wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa dan 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.

Wang itu dipamerkan selepas SPRM mendedahkan wang tunai ratusan juta ringgit dan barangan berharga dirampas dalam tiga premis termasuk sebuah ‘safehouse’, berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Ismail Sabri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI