fbpx

Eto tersepit lubang angin diselamatkan APM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kepala seekor kucing yang tersekat pada lubang angin di sebuah rumah di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil di Baling pagi tadi.

BALING – Empat anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) mengambil masa kira-kira 25 minit untuk mengeluarkan seekor kucing yang tersekat pada lubang angin di sebuah rumah di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil, di sini pagi tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd. Faizol Ab. Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 10.43 pagi.

“Seramai empat anggota diarahkan ke lokasi kejadian dan mendapati bahagian kepala kucing tersebut tersekat di lubang angin pada bahagian atas pintu belakang rumah.

“Kucing itu tidak dapat dikeluarkan dengan cara biasa dan bagi memastikan keselamatan haiwan tersebut, anggota APM mengambil langkah berhati-hati dengan memotong sedikit bahagian atas pintu menggunakan peralatan khas,” katanya di sini hari ini.

Katanya, operasi itu mengambil masa kira-kira 25 minit dan kucing tersebut berjaya dikeluarkan tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, penghuni rumah tersebut, Putri Siti Nur Nabila Mohd. Firdaus, 22, berkata, kucing yang dipanggil Eto itu dipercayai tersekat pada lubang angin ketika cuba masuk ke dalam rumah.

“Kami sudah dengar Eto mengiau sejak pukul 7 pagi tadi, tapi kami sangka dia nak masuk rumah sebab Eto memang manja dan suka bermain. Kejadian hanya disedari kakak ipar tiga jam kemudian.

“Kami cuba keluarkan tetapi tak boleh kerana tersekat pada rahang Eto, menyebabkan kami hubungi talian kecemasan untuk dapatkan bantuan. APM berjaya keluarkan Eto tanpa sebarang kecederaan,” katanya.

Katanya, Eto adalah kucing jalanan tetapi manja dengan keluarganya kerana sering diberi makan. – KOSMO! ONLIN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI