MARAN – Pokok kurma yang ditanam seorang peneroka di Felda Jengka 12 di sini mendapat perhatian ramai selepas buat pertama kali sejak ditanam 10 tahun lalu ia berbuah lebat.
Pokok itu menjadi sebutan ramai dan mencetuskan fenomena kecil di kawasan tanah rancangan Felda apabila lebih 100 pengunjung sehari datang semata-mata mahu melihat sendiri buah kurma yang tumbuh di halaman rumah dalam cuaca tropika Malaysia.
Pemiliknya, Mohd. Zakaria Omar, 63, berkata, pokok kurma jenis KL One itu kini mengeluarkan sebanyak 21 tandan buah, selepas sekian lama hanya menjadi tanaman hiasan di depan rumah.
“Saya beli benih daripada kawan di Kuala Terengganu dengan harga RM30 sepokok, lebih 10 tahun lalu, tiga saya tanam depan rumah, empat lagi di kawasan masjid, tetapi hanya sepokok ini yang menjadi,”katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, video pokok itu yang dimuat naik ke TikTok minggu lalu telah menjadi tular tidak langsung menarik ramai pengunjung dari seluruh negara termasuk daripada Johor, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan negeri ini.
“Ada yang datang naik motosikal, ada datang bawa satu keluarga. Siap bawa tangga nak petik buah, ramai kata tidak pernah tengok pokok kurma berbuah di Malaysia,” katanya.
Tambahnya, buah kurma berkenaan walaupun bersaiz kecil, namun mempunyai rasa manis yang menyelerakan, seakan kurma import dari Timur Tengah.
Katanya, lebih menarik lagi apabila tanaman itu turut mencetuskan rasa kagum dalam kalangan generasi muda Felda yang kini mula melihat pokok kurma sebagai alternatif kepada kelapa sawit.
“Saya jemput orang datang rasa sendiri. Walau kecil, isinya manis betul, saya akan tanam 10 pokok lagi,” katanya.















