PETALING JAYA – Harapan skuad Malayan Tigress untuk layak ke pentas Piala Asia Wanita 2026 tidak kesampaian selepas tewas 0-6 kepada Korea Utara dalam aksi terakhir kelayakan Kumpulan H sebentar tadi.
Pada aksi di Stadium Republican Central, Tajikistan itu, skuad negara berusaha untuk memberikan tentangan sengit ke atas Korea Utara yang dianggap sebagai gergasi bola sepak wanita memandangkan status selaku pasukan ranking ke-9 dunia.
Namun, pasukan wanita kebangsaan kendalian Joel Cornelli terpaksa akur apabila jadi mangsa belasahan skuad lawan yang selesa mendahului 2-0 pada babak pertama hasil penyudah Kim Hye-yong (m-39) dan Myong yu-Jong (m-45).
Pemain sensasi Korea Utara, Kim Kyong-yong mempamerkan bisa apabila menjaringkan hatrik pada minit ke-52, m-54 dan m-77 sebelum Ri Hye-gyong melengkapkan kemenangan bergaya pada masa kecederaan.
Keputusan tersebut menyaksikan Korea Utara gah mendahului carta Kumpulan H dengan 9 mata sekali gus meraih slot tunggal ke pentas Piala Asia Wanita 2026 selaku juara kumpulan dengan Malaysia kekal di tangga kedua.
Kali terakhir Malaysian Tigress layak ke Piala Asia Wanita pada 1995 ketika menjadi tuan rumah dengan pencapaian terbaik skuad negara ialah menduduki tempat ketiga edisi Thailand 1983. – KOSMO! ONLINE