PUTRAJAYA – Seramai 87 mangsa skim pelaburan ‘ala-hutang’ mendesak Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya meneruskan pendakwaan terhadap pihak yang disyaki terlibat dalam penipuan pelaburan tersebut.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim yang mewakili mangsa berkata, setakat ini, mangsa berdepan kerugian keseluruhan mencecah lebih RM47 juta selepas menyertai skim itu.
Beliau berkata, walaupun laporan polis telah dibuat terhadap syarikat dan individu yang terlibat, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan konkrit diambil termasuk pendakwaan di mahkamah.
“Difahamkan, beberapa kes yang telah dikemukakan ke mahkamah diklasifikasikan sebagai melepas tanpa membebaskan (DNAA) kerana pengadu menarik balik laporan.
“Ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan mangsa apabila mereka melihat tiada jalan penyelesaian yang diberikan,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di hadapan Pejabat AGC di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyertai kira-kira 50 mangsa kes itu dari utara tanah air menyerahkan surat rayuan kepada wakil Pejabat Komunikasi Korporat AGC, Abd Aziz Mohd. Salleh, di sini, hari ini.
Katanya, terdapat juga kes laporan polis mangsa yang dirujuk kepada laporan lain melalui kod refer other report (ROR), sekali gus menyukarkan proses pendakwaan terhadap pihak terbabit.
Susulan itu, Hishamuddin berkata, MHO dan mangsa-mangsa terlibat sepakat mengadakan sidang media bagi menyatakan hasrat mereka agar AGC meneliti semula kesemua laporan berkaitan. – KOSMO! ONLINE