KUALA LANGAT – Bahan bakar digunakan kumpulan suspek yang mengakibatkan kebakaran lima buah kereta mewah milik seorang pembantu undang-undang firma guaman, disahkan adalah petrol.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, perkara tersebut diketahui hasil sampel yang ditemui pihak bomba.
Katanya, setakat ini seramai tujuh saksi telah diambil keterangan bagi membantu siasatan.
“Daripada penemuan sampel oleh pihak bomba mendapati bahan bakar adalah petrol.
“Tiada tangkapan setakat ini dan usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau turut memaklumkan, kejadian hanya melibatkan perselisihan faham antara suspek dan mangsa sendiri tanpa mendatangkan masalah pada orang awam.
“Siasatan masih dijalankan sama ada kes ini mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan angkara dendam, seorang pembantu undang-undang terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM1.6 juta selepas lima buah kenderaan miliknya dibakar sekumpulan lelaki di Bandar Tropicana Aman, Saujana Putra di sini, kelmarin.
Perbuatan khianat suspek itu yang turut merosakkan hadapan rumah mangsa diketahui pada pukul 6.45 pagi selepas pihak polis menerima panggilan daripada seorang lelaki.
Difahamkan, antara kenderaan yang musnah dalam kejadian itu termasuk Nissan GTR R35, Honda Civic dan Volkswagen Golf GTI. – KOSMO! ONLINE