PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan mesra bersama komuniti Islam di Itali dalam rangka lawatan kerjanya ke negara itu.
Pertemuan tersebut diketuai oleh Naib Presiden Persatuan Komuniti Islam Itali (COREIS), Imam Yahya Pallavicini dan Setiausaha Agung Pusat Kebudayaan Islam Itali–Masjid Besar Rom, Abdellah Redouane.
Anwar dalam satu hantaran di Facebook berkata, pertemuan itu menjadi medan untuk bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh pembangunan ummah serta menangani isu Islamofobia secara bijaksana dan berhemah.
“Saya tekankan komitmen Malaysia dalam memartabatkan Islam yang menekankan nilai kesederhanaan, toleransi dan keharmonian menerusi pendidikan, dakwah serta kerjasama antarabangsa dengan komuniti Islam di Itali,” katanya.
Sebagai simbol ukhuwah dan solidariti, Anwar turut menyerahkan sumbangan kepada komuniti Islam di sana termasuk senaskhah al-Quran edisi khas serta 10 lagi naskhah terjemahan dalam bahasa Itali.
Langkah itu disifatkan beliau sebagai usaha menyemarakkan penyebaran ilmu dan memperkukuh jalinan persaudaraan antara Malaysia dan komuniti Islam antarabangsa. – KOSMO! ONLINE