KETUA jurulatih skuad Bawah 23 (B-23) tahun negara, Nafuzi Zain tidak sabar untuk mengharungi ujian pertama menjelang saingan Piala Asean B-23 di Jakarta, Indonesia yang bermula pada 15 Julai depan.
Menurut Nafuzi, persiapan berjalan lancar selepas semua 30 pemain telah melaporkan diri untuk kem latihan pusat yang bermula semalam.
“Semuanya berjalan lancar seperti yang diharapkan, dan saya melihat pemain teruja dan bersemangat serta positif. Semua pemain sudah melaporkan diri. Terima kasih kepada semua kelab yang memberi pelepasan.
“Kejohanan ini juga adalah ujian pertama saya dan dari segi pasukan ini mungkin akan dibawa bantu situasi para pemain untuk kelayakan Piala Asia B-23 2026 nanti,” kata Nafuzi ketika ditemui hari ini.
Mengulas lanjut, bekas pengendali Terengganu FC (TFC) itu harap barisan pemain dapat mencontohi kejayaan skuad senior yang berada dalam fasa revolusi ketika ini dan peluang untuk semua 30 pemain adalah seimbang.
“Saya akan menilai sama rata untuk semua pemain, mereka pemain yang tunjukkan persembahan dan kualiti terbaik, mungkin pemain itu lebih berpeluang untuk ada dalam pasukan, tidak kira dia pemain pengalaman ataupun pemain baru,” katanya.
Saingan Piala ASEAN B-23 telah dianjurkan sejak 2005 dan Malaysia tidak pernah bergelar juara dengan pencapaian terbaik di kedudukan keempat pada penganjuran edisi pertama dan edisi 2023.
Selain Filipina, skuad negara yang diundi dalam Kumpulan A akan berdepan Brunei pada 18 Julai dan bertemu tuan rumah, Indonesia dalam aksi terakhir pada 21 Julai dengan semua saingan berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno.