SINGAPURA – Seorang lelaki di Singapura nekad memanjat bonet kereta ketika menangkap isterinya dalam keadaan tanpa seurat benang bersama kekasih gelap wanita tersebut, lapor laman berita AsiaOne.
Percubaan mangsa untuk menangkap pasangan itu bagaimanapun gagal apabila dia terjatuh ke atas jalan dan mengalami kecederaan, manakala kereta isterinya memecut laju.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 2.13 pagi (waktu tempatan) di tempat letak kereta bertingkat Blok 278 Compassvale Bow pada Jun 2024.
Mangsa, Goh Yong Sern berkata, dia cuba membuka pintu kereta dan meminta pasangan itu turun, namun mereka enggan.
Dia kemudian melihat kekasih isterinya, Chia Hiok Seah cuba memandu pergi.
Ia menyebabkan mangsa memanjat bonet untuk menghalang mereka, namun dia kemudian terjatuh.
Perbicaraan bermula di sebuah mahkamah semalam atas kesalahan menyebabkan kecederaan dan berbogel di tempat awam, lapor akhbar Shin Min Daily News.
Menurut akhbar itu, Hiok Seah mengaku bersalah berbogel di khalayak ramai tetapi tidak mengaku bersalah atas pertuduhan pertama yang menyebabkan kecederaan. – AGENSI