fbpx

‘Paksa tonton video islamik cara saya kekal istiqamah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BAGI memastikan diri kekal istiqamah, Neelofa banyak menonton kandungan video Islamik.

PETALING JAYA – Selebriti dan usahawan terkenal, Neelofa mengakui kekuatannya untuk terus istiqamah mendalami ilmu agama datang daripada keterbukaan hati menerima nasihat, terutama menerusi kandungan Islamik dalam media sosial.

Ujar Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 36, dia sering memaksa diri menonton kandungan video yang menyentuh hati meskipun ada kalanya tidak berminat untuk berbuat demikian.

“Apabila tengok apa sahaja perkongsian video dalam media sosial, saya bukan sahaja tengok yang lawak tapi menyentuh hati. Saya memang tidak akan ‘scroll’ laju kalau ada video Islamik yang lalu dalam media sosial saya.

“Walaupun masa tu hati kita tak tenang atau tak nak tonton, saya paksa juga dengar. Jujurnya, video-video sebegitu menjadi ‘booster’ untuk saya terus baca al-Quran.

“Saya fikir kalau video bukan islamik boleh pula tengok lama, itu macam tamparan untuk saya untuk terus istiqamah,” katanya menerusi video dalam TikTok.

Bekas pengacara MeleTOP itu turut meluahkan kekagumannya terhadap individu yang mampu beristiqamah dalam membaca dan berterusan khatam Al-Quran.

“Jujurnya saya sangat terinspirasi dengan orang yang boleh berterusan khatam Al-Quran. Ramai kenalan saya yang mampu buat begitu.

“Saya sangat cemburu dan dalam masa sama terinspirasi, saya selalu anggap mereka sangat kuat dan dekat dengan Allah,” kongsinya.

Dalam video sama, suaminya, Haris Ismail turut memberi pujian terhadap perubahan bintang Suri Hati Mr Pilot itu yang kini sentiasa berpakaian labuh serta menutup aurat meskipun dalam keadaan cuaca panas.

Menjengah ruangan komen, rata-rata netizen memuji keikhlasan ibu dua anak itu dalam penghijrahannya yang memberi inspirasi buat ramai wanita.

“Saya menangis tengok video ini. Betapa dia paksa diri dekatkan dengan Allah, moga jadi kekuatan untuk saya juga,” kata seorang pengguna TikTok.

“Neelofa bukan sahaja cantik luaran, tapi dalamannya juga sangat indah. Moga Allah terus pelihara hati dan jalannya,” tulis seorang lagi netizen.

“Dia berubah sedikit demi sedikit tapi tetap istiqamah. Dia biar apa sahaja orang kata. Itu yang buat saya terinspirasi,” komen peminat.

Untuk rekod, Neelofa mula mengenakan tudung penuh pada Julai 2014 dan tampil berniqab sejak Oktober 2020, sekali gus mencetuskan fenomena baharu dalam kalangan peminat wanita Muslim di negara ini. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI