fbpx

Kes tembak Brickfields: Suspek telah dikenal pasti, cuba larikan diri 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar kejadian kes tembak di Brickfields, pada 13 Jun lalu.

KUALA LUMPUR – Polis memaklumkan pihaknya telah mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kes tembak di sebuah restoran di Jalan Tun Sambathan, Brickfields pada 13 Jun lalu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata siasatan mendapati kesemua suspek cuba melarikan diri, namun usaha penahanan masih giat dijalankan.

Beliau berkata, motif kejadian dalam kejadian tembak itu lebih bersifat gangsterisme serta menjurus kepada perebutan kawasan dan balas dendam melibatkan elemen dadah.

“Setakat ini kita belum berjaya buat tangkapan tapi siasatan masih diteruskan. Banyak maklumat kita dapat, misalnya mereka cuba larikan diri. Kita dah boleh agak kenal pasti suspek,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Seminar Intelektual Inspirasi Remaja Madani 2025 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Usuf berkata, ujian kimia sedang dijalankan ke atas satu kelongsong peluru yang dijumpai di tempat kejadian, dipercayai digunakan oleh suspek.

“Satu kelongsong peluru yang dijumpai sudah pun kita hantar ke Jabatan Kimia untuk untuk lakukan ujian. Setakat ini, kita belum peroleh lagi keputusan tersebut,” katanya.

Tambahnya, senjata api yang digunakan dalam kes ini juga dipercayai tidak sama dengan kes tembak di sebuah pusat beli-belah Jalan Loke Yew, Cheras, 17 Jun lalu.

Sehingga kini, ujarnya, sebanyak 20 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan berkaitan kes tersebut.

Dalam kejadian pukul 10.26 malam itu, mangsa bersama enam rakan yang berada di restoran diserang individu bersenjata api yang melepaskan beberapa das tembakan ke arah mereka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI