PARIS – Gelombang haba ekstrem di Eropah menyebabkan Menara Eiffel di Paris, Perancis ditutup kepada pelawat, lapor agensi berita United Press International (UPI) semalam.
“Menara Eiffel akan ditutup susulan suhu melampau yang dijangka berlaku pada waktu tengah hari dan petang.
“Ia akan ditutup sepanjang Selasa (semalam) dan Khamis (esok),” kata kenyataan di laman web menara tersebut.
Paris diramal menghadapi suhu panas ekstrem sehingga hampir 40 darjah Celsius.
Susulan cuaca panas melampau, Perdana Menteri Francois Bayrou berkata, sebanyak 16 kerajaan tempatan diletakkan di bawah amaran merah tertinggi oleh agensi cuaca kebangsaan, Meteo-France.
Agensi itu juga meletakkan sebanyak 68 kerajaan tempatan yang lain berada di bawah amaran oren.
Kementerian Pendidikan berkata, sebanyak 1,350 sekolah awam akan ditutup sebahagian atau sepenuhnya akibat cuaca panas melampau. – AGENSI