PETALING JAYA – Keadaan cuaca di negara ini ketika ini disifatkan tidak menentu apabila ada kawasan berdepan cuaca panas melampau, manakala beberapa lokasi lain pula dilanda hujan lebat dan ribut petir.
Terbaharu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir melibatkan Langkawi di Kedah selain Pontian, Kulai dan Johor Bahru di Johor sehingga pukul 1 tengah hari ini.
MetMalaysia memaklumkan kawasan terlibat dijangka mengalami ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh tersebut.
“Amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan hujan dengan intensiti melebihi 20 milimeter sejam yang hampir berlaku atau dijangka berterusan melebihi sejam,” katanya.


Dalam masa sama, beberapa kawasan di negara ini turut merekodkan suhu panas tinggi semalam.
Menurut MetMalaysia, Stesen Meteorologi Mersing merekodkan suhu maksimum tertinggi iaitu 36.5 darjah Celsius diikuti Temerloh (36.2 darjah Celsius) dan Batu Embun (36.1 darjah Celsius).
Bagi suhu maksimum terendah pula, Stesen Meteorologi Cameron Highlands merekodkan bacaan 22.3 darjah Celsius.
Selain cuaca panas, Mersing turut mencatatkan taburan hujan tertinggi sebanyak 61 milimeter, diikuti Lapangan Terbang Kota Bharu (39.2 milimeter) dan Limbang (31 milimeter).
“Sekejap panas, sekejap hujan…cuaca sekarang memang susah nak jangka, kan?
“Jadi jom cakna dengan perubahan cuaca dan rancang aktiviti harian anda dengan merujuk laman sesawang serta media sosial rasmi MetMalaysia,” kata jabatan itu. – KOSMO! ONLINE














