fbpx

Rugi RM1.6 juta lima kereta mewah dibakar empat lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kenderaan mewah yang terbakar akibat khianat itu.

KUALA LANGAT – Seorang lelaki kerugian RM1.6 juta apabila lima kenderaan mewah musnah selepas dibakar oleh empat lelaki dalam kejadian di Bandar Tropicana Aman, Saujana Putra di sini, semalam.

Kejadian khianat itu diketahui kira-kira pukul 6.45 pagi selepas polis menerima panggilan daripada seorang lelaki.

Difahamkan antara kereta yang musnah adalah termasuk jenis Nissan GTR R35, Honda Civic dan Golf GTI.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, kejadian itu turut menyebabkan bahagian hadapan rumah mangsa rosak akibat kebakaran yang berlaku.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati pemilik kenderaan dan keluarga tidak berada di rumah tersebut.

“Siasatan mendapati empat suspek lelaki telah membakar kereta milik mangsa. Kerugian dianggarkan RM1.6 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, katanya, polis sedang giat mengesan suspek yang terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

“Orang awam dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu siasatan polis.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat boleh menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah ini ditalian 03-31872222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, seramai enam anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Telok Panglima Garang bersama sebuah jentera terlibat dalam operasi pemadaman itu.

“Anggaran kemusnahan lima buah kereta adalah 90 peratus selain hadapan dua buah rumah masing-masing lima dan 10 peratus,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI