KUALA LUMPUR – Beberapa pemimpin tertinggi UMNO mula hadir ke ibu pejabat parti itu di Menara Dato’ Onn, di sini, bagi menghadiri mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang dijadualkan berlangsung malam ini.
Antara yang dilihat tiba ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, serta Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Tinjauan Kosmo! mendapati sekitar 20 petugas media daripada pelbagai agensi sudah berkumpul di lobi bangunan seawal pukul 7 malam bagi membuat liputan perkembangan mesyuarat berkenaan.
Mesyuarat malam ini dijangka membincangkan beberapa perkara penting, termasuk isu berhubung penggantungan keahlian bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Perkara itu sebelum ini dibangkitkan oleh Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang memaklumkan bahawa keputusan sama ada isu itu akan dibahas atau tidak bergantung kepada Pengerusi UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi selaku pihak yang mencadangkan. – KOSMO! ONLINE