PETALING JAYA – Permodalan Nasional Berhad (PNB) melalui Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan untuk dana harga tetap iaitu Amanah Saham Bumiputera 3 Didik (ASB 3 Didik) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, ASB 3 Didik telah mengisytiharkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM423 juta, bersamaan 5.25 sen seunit kepada 338,320 pemegang unit yang kini memiliki sebanyak 8.12 bilion unit.
Agihan pendapatan ini menyumbang kepada jumlah pulangan sebanyak 5.25 peratus mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12-Bulan Maybank sebanyak 2.51 peratus dengan kelebihan 274 mata asas.
Sehingga 19 Jun 2025, ASB 3 Didik merekodkan pendapatan bersih yang direalisasi sebanyak RM539.10 juta.
“Dana tersebut berjaya mengekalkan pembayaran dividen sebanyak 5.25 sen seperti tahun sebelumnya, walaupun berdepan dengan tempoh yang jauh lebih mencabar akibat persekitaran ekonomi global dan pasaran modal tidak menentu.
“Ia berpunca daripada perubahan ketara dalam dasar perdagangan Amerika Syarikat dan ketegangan geopolitik yang meningkat.
“Pencapaian ini mencerminkan komitmen PNB dalam menyokong matlamat kewangan jangka panjang pelabur bumiputera melalui pengurusan yang berdisiplin dan proaktif,” katanya.
Selain itu, dana tersebut telah menjana sebahagian besar pendapatannya daripada keuntungan direalisasi dan pendapatan dividen melalui gabungan pelaburan ekuiti tempatan dan global.
“Menyedari kepentingan kestabilan pendapatan, kami juga telah mempelbagaikan pelaburan ke dalam Aset Pendapatan Tetap Global, bagi memastikan aliran pendapatan yang stabil dan boleh dipercayai untuk menyokong kestabilan kewangan pelabur, seiring dengan keperluan pelabur muda yang sedang meningkat dan pelabur setia kami,” ujarnya.
Selain itu, seiring dengan komitmen berterusan untuk memperkukuh literasi kewangan dan membantu rakyat membina kekayaan jangka panjang, PNB dan ASNB telah melancarkan kempen Labur & Level Up, yang berlangsung dari 1 Jun 2025 hingga 31 Mac 2026.
Kempen ini memberi ganjaran kepada pelabur yang konsisten dalam menambah simpanan dan mencapai matlamat kewangan mereka melalui aplikasi myASNB, dengan peluang untuk memenangi sebahagian daripada jumlah hadiah bernilai RM1.18 juta.
Untuk menyertai kempen ini, pelabur hanya perlu membuat pelaburan minimum sebanyak RM100 atau mendaftar perkhidmatan Auto Labur dengan pelaburan bulanan minimum RM50 bagi melayakkan diri untuk cabutan hadiah bulanan. -KOSMO! ONLINE