fbpx

Bot terbalik Pulau Perhentian: Pemandu bot positif dadah direman tiga hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemandu bot (dua dari kanan) direman tiga hari bagi membantu siasatan berkaitan dadah di Mahkamah Majistret Setiu hari ini.

SETIU – Pemandu bot yang terlibat dalam insiden mengorbankan tiga pelancong di Pulau Perhentian, Besut Sabtu lalu direman tiga hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan kes berkaitan penyalahgunaan dadah.

Perintah reman tersebut dibenarkan Majistret Nurliyana Md. Zukri di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Suspek berusia 22 tahun berkenaan disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1957.

Terdahulu Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, ujian urin terhadap pemandu bot tersebut selepas berlakunya tragedi terbabit mendapati dia positif dadah jenis Benzodiazepine.

Beliau berkata, semakan juga mendapati lelaki berusia 22 tahun berkenaan juga memiliki lima rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Kosmo! hari ini melaporkan bot dipandu suspek membawa 15 penumpang berusia dalam lingkuntan tiga hingga 40 tahun terbalik selepas dipukul ombak besar kira-kira 20 meter dari sebuah resort di Pulau Perhentian Besar, Besut.

Kejadian pada pukul 10.30 malam itu mengorbankan dua beranak, S. Arumugam, 40; dan anaknya A. Sarrvihka, 3, serta V. R. Vennpani , 10 manakala seorang lagi, T.S Sakthivel, 6, pula masih dalam keadaan kritikal.

Sewaktu kejadian, kesemua empat keluarga dari Butterworh, Pulau Pinang dan Sungai Petani, Kedah tersebut dalam perjalanan pulang ke resort penginapan selepas menyaksikan pertunjukan api di Long Beach, Pulau Perhentian Kecil, Besut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI