BEIRUT – Serangan udara tentera Israel di selatan Lubnan semalam mengorbankan tiga nyawa, sekali gus mencetuskan ketegangan baharu di tengah-tengah gencatan senjata dengan kumpulan Hizbollah, lapor akhbar Arab News.
Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa askar Rejim Zionis melancarkan serangan ke atas sebuah kenderaan di Kunin, selatan Lubnan. Ia mengorbankan seorang lelaki dan mencederakan seorang lagi.
Dalam kenyataan susulan semalam, Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa insiden serangan motosikal di Mahrouna, berhampiran Tyre, telah meragut dua nyawa termasuk seorang wanita. Seorang lagi mangsa dilaporkan cedera.
Ia berlaku sehari selepas seorang wanita terbunuh dan 25 yang lain cedera dalam beberapa serangan di selatan Lubnan.
Menurut Agensi Berita Nasional Lubnan, mangsa maut selepas sebuah dron menyasarkan sebuah apartmen di bandar Nabatiyeh. – AGENSI