fbpx

Penjenamaan semula PSM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DATUK Sumali Reduan kekal sebagai Presiden PSM bagi penggal 2025-2028.

KUALA LUMPUR – Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mengumumkan pertukaran nama rasmi kepada Persekutuan Sepaktakraw Malaysia, selaras dengan peranan sebenar badan itu sebagai badan induk di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan berkata, perubahan nama ‘Persekutuan’ itu dipersetujui majoriti perwakilan menerusi Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) hari ini.

Katanya, singkatan nama baharu badan induk itu bagaimanapun akan kekal menggunakan PSM dan pihaknya akan menghantar permohonan penukaran itu kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) dalam masa terdekat ini.

“Kita tukar kepada Persekutuan Sepaktakraw Malaysia supaya nampak beza antara kita selaku badan induk di peringkat kebangsaan dengan ahli gabungan negeri kekal menggunakan nama persatuan.

“Sebenarnya ini bukan benda baharu, kita dah bincang sebelum ini dan ramai sudah setuju sebab ia lebih mencerminkan peranan kita sebagai pentadbir utama sepak takraw negara,” kata Sumali kepada pemberita selepas EGM dan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), hari ini.

Dalam AGM bagi penggal 2025-2028, Sumali turut diberi mandat untuk kekal menerajui pucuk pimpinan PSM selepas menang tanpa bertanding.

Timbalan Presiden pula dimenangi Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan (49 undi), menewaskan pencabar terdekat Datuk Abdul Halim (47 undi), manakala tiga jawatan Naib Presiden disandang Datuk Abu Jimi Samat (51 undi), Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman (48 undi) dan Wan Mohd Husni Abdullah (44 undi).

“Syukur kita dapat jalankan dengan harmoni, aman dan juga telus. Dan proses pemilihan itu dijalankan oleh satu jawatankuasa bebas yang kita lantik supaya perjalanan mesyuarat itu dapat berjalan dengan telus tanpa ada campur tangan di kalangan kita dalam Jawatankuasa Tertinggi PSM,” tambah Sumali. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI