ROMPIN – Seorang pensyarah wanita yang hilang lebih 20 jam lalu semasa menyelam seorang diri di perairan Pulau Chebeh di sini akhirnya ditemukan selamat, pagi ini.
Mangsa, Eliza M. Yusup, 44, yang juga pensyarah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), hilang sejak tengah hari semalam ketika menyelam seorang diri selepas sesi selaman berkumpulan bersama sembilan penyelam lain dan seorang pengajar.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, mangsa ditemukan kira-kira pukul 8.45 pagi tadi oleh sekumpulan orang awam yang sedang menjalankan aktiviti menyelam di Pulau Tulai, kira-kira 1.4 kilometer dari lokasi mangsa hilang.
“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai dihanyutkan arus sebelum berenang menyelamatkan diri dan tiba di Pulau Tulai sekitar pukul 11.30 malam tadi.
“Mangsa dalam keadaan selamat dan akan dihantar ke Klinik Kesihatan Kampung Tekek untuk pemeriksaan kesihatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Semalam, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan sejurus polis menerima laporan kehilangan mangsa pada pukul 1.15 tengah hari.
Difahamkan, pengajar yang mengiringi kumpulan selaman tersebut memaklumkan mangsa memilih untuk menyelam seorang diri selepas semua penyelam naik ke bot.
Bagaimanapun, mangsa tidak muncul semula ke permukaan hingga pukul 12.30 tengah hari dan pengajar terbabit cuba mencarinya, namun gagal. – KOSMO! ONLINE