LONDON – Sekurang-kurangnya 17 orang cedera selepas sebuah bas dua tingkat yang dinaiki mereka terbabas lalu terjunam ke dalam sungai di Hampshire, England, lapor akhbar Metro UK semalam.
Kemalangan berlaku sekitar pukul 10.00 pagi (waktu tempatan) di Sungai Itchen dekat bandar Eastleigh.
Bas Bluestar 607 itu membawa pelajar ke Kolej Barton Peveril sebelum terbabas dari Bishopstoke Road lalu terjunam ke dalam sungai.
Pemandu dan empat penumpang telah dibawa ke hospital, dengan dua daripada mereka parah, demikian menurut polis.
Datuk Bandar Eastleigh, Janice Asman menyifatkan kemalangan itu sebagai mengerikan.
Seorang mangsa bernama Freddie Sampson berkata, pengalaman menakutkan itu berlaku apabila pemandu bas dipercayai hilang kawalan.
“Bas itu melanggar lampu jalan, menyebabkan tingkap depan pecah,” kata Sampson.
Inspektor Andy Tester berkata, beberapa orang termasuk pemandu ditemui terperangkap di dalam bas sejurus selepas perkhidmatan kecemasan tiba di tempat kejadian.
Pengurus Blurstar, Richard Tyldsley berkata: “Setakat ini, kami masih belum mengetahui punca kejadian.
“Siasatan masih giat dijalankan,” tambah Tyldsley. – AGENSI