LAWAS – Seorang lelaki warga emas rentung dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah teres di sini, awal pagi hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, dalam kejadian yang dilaporkan kira-kira pukul 4.18 pagi itu, mangsa yang berusia 89 tahun ditemukan rentung di lokasi kejadian.
Manakala, katanya dua lagi lelaki berusia 32 dan 31 tahun yang mendiami rumah tersebut selamat.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah teres telah terbakar 100 peratus, mangsa yang rentung diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan.
Katanya pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas membuat pemadaman menggunakan sumber air daripada tangki air. – KOSMO! ONLINE