PETALING JAYA – Gara-gara menyalahgunakan wang saku yang diberi untuk membeli seluar sukan, seorang kanak-kanak ‘kantoi’ menipu selepas bapanya menyamar menjadi anggota polis melalui panggilan telefon bagi mendapatkan pengakuan sebenar.
Menerusi satu hantaran di TikTok milik Hasya Athea, wanita itu mendedahkan bahawa dia terpaksa bertindak kreatif selepas anaknya berbohong kononnya wang yang diberi telah diambil oleh rakan sekolah.
“Saya bagi duit suruh beli seluar sukan, tetapi dia tak beli. Katanya kawan ambil duit tu dan siap cakap dah bagitahu cikgu tentang kawan dia.
“Saya rasa pelik sebab cikgu tak ada maklum apa-apa, jadi saya hubungi ibu kepada rakannya dan rupa-rupanya, anak saya yang guna duit itu untuk beli macam-macam dan belanja kawan-kawan,” katanya.
Tambah wanita itu, anaknya tetap tidak mahu mengaku walaupun sudah dikunci di luar rumah dan didesak beberapa kali.
“Disebabkan terlalu geram saya terus pakat dengan suami suruh menyamar jadi polis dan menelefon anak kami. Lepas ‘papa polis’ tanya, terus dia mengaku. Padahal masa saya tanya tadi, tetap berkeras cakap bohong,” tulisnya di dalam video berkenaan.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memuji pendekatan pasangan itu dalam mendidik anak.
“Terbaik puan ni..dia tak percaya cakap anak dia kata kawan ambil…sesetengah mak percaya bulat-bulat cakap anak,” kata Ana.
“Mak ayah yang bijak. Jangan mudah percaya pada anak-anak.. Terutamanya, bawah umur ni… dia sedang belajar mana baik mana salah,” komen Qiqila.
“Nasib baik ada papa polis, dapat tahu hal sebenar,” ujar pengguna lain. – KOSMO! ONLINE