IPOH – Penubuhan Zakat Perak Al Ridzuan (Zapar) iaitu sebuah entiti korporat milik penuh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) merupakan satu inisiatif strategik untuk meningkatkan kecekapan, ketelusan dan akauntabiliti organisasi berkenaan.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, ia lebih-lebih lagi apabila trend perolehan kutipan zakat dan cabaran mengutipnya dilihat semakin meningkat pada hari ini.
Justeru, titah baginda, amatlah bertepatan untuk MAIPk mengambil pendekatan berani, merintis langkah strategik, melakukan penghijrahan, mengolah struktur organisasi dan budaya kerja baharu.
“Dalam semangat mahu berhijrah kepada budaya kerja baharu yang lebih dinamik, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak ke-227, yang bersidang pada 30 Jamadilakhir 1445 Hijrah bersamaan 12 Januari 2024 merumuskan ketetapan untuk menambah baik tugas-tugas pungutan zakat melalui penubuhan sebuah anak syarikat milik penuh MAIPk.
“Beta telah memperkenankan sembah cadangan MAIPk. Alhamdulillah niat murni yang disusuli dengan usaha yang ikhlas telah dimakbulkan Ilahi.
“Pada hari ini, 29 Zulhijah 1446 Hijrah, hari terakhir tahun 1446 Hijrah, ketika umat Islam sedang diambang melangkah masuk ke tahun 1447 Hijrah apabila azan solat Maghrib dilaungkan senja ini, dan ketika MAIPk pada hari ini genap berusia 78 tahun penubuhannya mengikut perkiraan tahun Hijri, dengan izin Allah SWT, kita dihimpunkan untuk menjadi saksi pelancaran Zapar,” titahnya.
Baginda berkata demikian ketika bertitah pada Majlis Pelancaran Zapar di Pusat Zapar di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di sini hari ini.
Sultan Nazrin bertitah, penubuhan Zapar merupakan inisiatif strategik bagi meningkatkan kecekapan, ketelusan dan akauntabiliti organisasi, serta suatu langkah dinamik untuk memungkinkan perkhidmatan kutipan zakat yang lebih berkualiti dan responsif dapat diberikan kepada pelanggan dan rakyat.
Titah baginda, pewujudan Zapar akan memberi manfaat besar kepada golongan asnaf dan para muzakki (pembayar zakat).
“Keutamaan tatakelola yang cekap dan teratur serta berorientasi digital yang diterapkan di Zapar akan menyuburkan peranan institusi Islam seiring arus kontemporari. Melalui platform digital, kutipan zakat kini dapat dilakukan dengan lebih mudah dan pantas.
“Kemajuan teknologi juga membantu mempercepatkan proses agihan secara lebih menetapi sasaran dengan pengumpulan maklumat yang lebih tepat dan tersusun,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah, kini setiap transaksi yang berlaku mudah dijejak oleh pembayar dan penerima, sekali gus meningkatkan ketelusan integriti institusi. – KOSMO! ONLINE