fbpx

Bunga ganja bernilai RM5.56 juta dirampas di KLIA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zulkifli (tengah) menunjukkan dadah dipercayai jenis bunga ganja yang dirampas pihaknya baru-baru ini.

SEPANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (LTAKL) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup bunga ganja dan rokok putih tidak berkastam dalam dua operasi berasingan sepanjang April dan Mei lalu.

Menurut Pengarah Kastam LTAKL, Zulkifli Muhammad, rampasan tersebut melibatkan anggaran berat 56,805.86 gram bunga ganja dengan nilai pasaran mencecah RM5.56 juta.

“Turut dirampas sejumlah 1.54 juta batang rokok putih pelbagai jenama dengan nilai rampasan sebanyak RM154,000 dan melibatkan cukai serta duti sebanyak RM1.03 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, dalam kes pertama, pasukan Bahagian Penguatkuasaan JKDM berjaya menahan 19 bungkusan (parcel) di beberapa terminal kargo udara Zon Perdagangan Bebas KLIA.

“Pemeriksaan mendapati dagangan tersebut mengandungi bahan disyaki bunga ganja yang disorok dalam plastik kedap udara sebelum dimasukkan ke dalam kotak dan dihantar menggunakan perkhidmatan kurier udara.

“Dadah tersebut dipercayai cuba di seludup masuk ke dalam negara dan keluar ke pelbagai negara,” ujarnya.

Dalam kes berasingan, Zulkifli berkata pada 9 Mei lalu , hasil maklumat dalaman dan arahan Ketua Bahagian Penguatkuasaan KLIA, sepasukan anggota Kastam telah menahan dua lori bonded (berikat) di Klang, Selangor yang disyaki membawa rokok putih tidak berkastam.

“Hasil pemeriksaan menemukan 1.54 juta batang rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak berkastam dengan nilai anggaran berjumlah RM154,000,” katanya.

Beliau menjelaskan, rokok tersebut dipercayai diedar menggunakan lori berkenaan dan penghantaran dilakukan pada waktu malam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Jelasnya, kedua-dua kes berkenaan di siasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI