MELAKA – Ibu kandung dan bapa tiri kanak-kanak perempuan orang kurang upaya (OKU) fizikal yang maut disyaki didera di Kota Laksamana di sini semalam direman tujuh hari bermula hari ini.
Perintah reman sehingga 30 Jun itu dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman ke atas suspek berusia 36 dan 38 tahun bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, pasangan itu tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 9 pagi dengan menaiki kenderaan polis dan memakai pakaian lokap bewarna jingga.
Permohonan reman selesai kira-kira sejam kemudian.
Semalam, Kosmo! melaporkan seorang budak perempuan berusia sembilan tahun maut dipercayai didera bapa tirinya di rumah mereka di Kota Laksamana.
Kejadian terbongkar selepas polis menerima laporan dari sebuah hospital swasta pada pukul 10.15 pagi.
Pegawai perubatan memaklumkan seorang kanak-kanak dibawa ke hospital oleh bapa tirinya dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan kecederaan disyaki didera sebelum meninggal dunia pukul 9.45 pagi
Pemeriksaan mendapati mangsa patah kaki selain lebam di kepala dan badan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE