DOHA – Iran melancarkan peluru berpandu ke arah pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Qatar semalam sebagai tindak balas terhadap serangan udara AS ke atas kemudahan nuklear Tehran pada hujung minggu lalu, lapor akhbar New York Post.
Pegawai Iran dilaporkan telah menghantar pemberitahuan serangan itu ke Doha, manakala 13 daripada 14 peluru berpandu ditembak jatuh sebelum mencapai sasaran mereka.
Video dramatik menunjukkan peluru berpandu meletup ketika meluncur semasa ia dipintas oleh pertahanan udara Qatar di atas Teluk Parsi.
Pegawai Qatar kemudian berkata, sejumlah 19 peluru berpandu dilancarkan dari Iran yang menyasarkan Pangkalan Udara Al Udeid. Salah satu daripadanya menjejaskan kemudahan tersebut tanpa sebarang kemalangan jiwa.
“Saya gembira untuk melaporkan bahawa tiada rakyat Amerika yang cedera, dan hampir tiada kerosakan yang dilakukan,” kata Presiden AS, Donald Trump.
“Saya ingin berterima kasih kepada Iran kerana memberi kami notis awal, yang memungkinkan tiada nyawa terkorban dan tiada sesiapa cedera,” tambahnya.
Seorang pegawai tentera memberitahu New York Post bahawa AS tidak mempunyai rancangan untuk bertindak balas terhadap serangan itu.
“Misil yang dahsyat dan kuat telah dilepaskan ke pangkalan udara Al-Udeid di Qatar,” kata Kor Pengawal Revolusi Iran dalam satu kenyataan yang dikongsi oleh media tempatan.
Kira-kira 10,000 tentera AS berpangkalan di Al Udeid, yang berfungsi sebagai ibu pejabat hadapan untuk Markas Pemerintahan Pusat Washington. – AGENSI