SHAH ALAM – Muezza Education Sdn Bhd (Muezza) bercadang untuk membuka dua lagi cawangan jualan pelbagai produk memanah jenis moden iaitu Muezza Archery Proshop (Proshop), tahun depan untuk memenuhi permintaan yang semakin bertambah daripada peminat sukan memanah itu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anas Izuan Azmi berkata, outlet yang memiliki lebih daripada 600 sku (unit simpanan stok) produk dan aksesori memanah jenis moden itu menelan belanja kira-kira RM300,000 menjadikan ia sebagai kedai flagship memanah pertama yang dioperasikan oleh usahawan bumiputera.
Menurut beliau, 90 peratus daripada barangan ke cawangan tersebut diimport khususnya dari Korea dan China yang dijual khusus kepada semua peringkat pemanah sehingga ke peringkat amatur.
“Bagi pemanah di peringkat permulaan hingga profesional, kami tawarkan set lengkap yang berharga kurang RM1,000 dan boleh mencecah sehingga lebih daripada RM25,000,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pembukaan cawangan pertamanya di sini semalam.
Anas menerangkan, Proshop itu akan menjadi pusat sehenti bagi peralatan memanah bertaraf dunia, menampilkan jenama antarabangsa seperti Wiawis dan MK Archery serta menawarkan akses kepada program pembangunan komuniti, kejurulatihan dan aktiviti interaktif berkaitan memanah.
Selain itu, dalam majlis tersebut, turut diadakan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Muezza Archery dan MK Archery, menandakan satu kerjasama strategik bagi memperkukuhkan komuniti memanah di Malaysia.
Antara inisiatif bersama ialah pembangunan ruang kecergasan dan latihan fizikal yang
menyokong secara holistik keperluan atlet dan peminat sukan. -KOSMO! ONLINE