TAMPIN – Penduduk di sekitar Gemencheh, di sini masih diselubungi kebimbangan apabila kawasan kejiranan mereka menjadi tempat ‘membuang anjing liar’ walaupun pelbagai tindakan telah diambil oleh pihak berwajib sejak sebulan lalu.
Walaupun pelbagai usaha telah dibuat, kawasan kejiranan mereka tetap menjadi tempat anjing liar berkumpul sehingga mengganggu penduduk.
Salah seorang penduduk yang ditemui, M J Hilavan, 26, berkata, anjing liar kini dilihat sering bergaduh antara satu sama lain, sehingga menimbulkan rasa bimbang penduduk, selain membuang najis di merata-rata tempat.
“Malah, kadangkala anjing liar ini mengejar orang awam, termasuk kanak-kanak dan warga emas. Keadaan ini bukan sahaja menimbulkan ketakutan, malah turut mengancam keselamatan penduduk sekitar.
“Harapannya, pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat mengambil tindakan segera dan berkesan bagi menangani isu ini. Langkah-langkah seperti penangkapan, pemvaksinan, pensterilan serta penempatan semula anjing-anjing ini ke pusat jagaan haiwan perlu dilaksanakan,” katanya ketika ditemui, di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Hilavan berkata, selain tindakan yang diambil PBT, penduduk juga disarankan agar tidak membuang haiwan peliharaan sesuka hati serta melaporkan sebarang kejadian kepada pihak berwajib.
“Diharapkan kawasan perumahan ini kembali menjadi tempat yang aman, bersih dan selamat untuk semua golongan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Gemencheh, Suhaimizan Bizar berkata, kehadiran anjing liar masih membimbangkan berikutan dengan aduan terbaharu kes serangan anjing di Taman Asahan pada 4 Jun lalu.
“Pihak Majlis Daerah Tampin ada menjalankan operasi berkala di sekitar Gemencheh. Namun, kita mengharapkan agar MDT dapat menyelesaikan masalah anjing liar ni dengan segera,” ujarnya.















