MELAKA Titans memulakan kempen Liga Sepak Takraw (STL) 2025 dengan aksi meyakinkan apabila muncul juara Grand Prix (GP) Terengganu selepas menewaskan PDRM Defenders 2-0 dalam aksi final di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Terengganu, Gong Badak kelmarin.
Ia merupakan kejuaraan sulung Melaka Titans di pentas Premier, sekali gus memberi isyarat awal bahawa pasukan itu kini antara pencabar utama kejuaraan musim ini.
Regu Melaka Titans dibarisi gandingan berbisa Mohamad Syahir Rosdi (tekong), Mohamad Azlan Alias (apit kanan) dan Muhammad Zaim Razali (apit kiri) tidak berdepan masalah besar untuk menundukkan PDRM Defenders dengan kemenangan 15-8, 15-5.
Set kedua menyaksikan PDRM Defenders tidak bermaya melawan kehebatan trio berpengalaman Melaka yang tampil lebih tersusun dan agresif sehingga menguasai permainan sepenuhnya.
Selaku juara, Melaka Titans membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000, manakala PDRM Defenders menerima RM8,000 selaku naib juara.
Melaka Titans melengkapkan malam gemilang dengan menyapu bersih kesemua anugerah pemain terbaik apabila Mohamad Syahir Rosdi dinobatkan sebagai Tekong Terbaik, diikuti Mohamad Azlan Alias sebagai Apit Kanan Terbaik dan Muhammad Zaim Razali selaku Apit Kiri Terbaik.
Sementara itu, tempat ketiga menjadi milik Kuala Lumpur (KL) Thunders selepas menewaskan Selangor Pistons 15-12, 17-14 dan airkit kedua STL 2025 akan diteruskan di N9 Arena, Negeri Sembilan pada 25 hingga 29 Jun ini. – KOSMO! ONLINE