SEWAKTU mendapat tempat untuk latihan industri, gadis itu berasa sangat teruja kerana dapat merasa pengalaman bekerja di salah sebuah syarikat perbankan terkemuka di Kuala Lumpur.
Semangatnya berkobar-kobar ingin bekerja dengan penuh dedikasi supaya selepas tamat pengajian kelak, dia dapat tempat secara tetap di syarikat berkenaan.
Namun, pengalamannya selama tiga bulan tidak hanya diisi dengan tugasan syarikat, malah Aimi (bukan nama sebenar) pernah berdepan situasi mistik sewaktu latihan industri di sana.
Berkongsi cerita tentang kejadian itu, Aimi memberitahu, dia pernah diganggu oleh makhluk halus atau penunggu pejabat mereka.
“Kejadian ini berlaku sewaktu bulan pertama saya menjalani latihan industri di syarikat berkenaan.
“Semasa ditempatkan di salah sebuah bank dekat Bangsar, saya lihat bangunannya kelihatan agak menyeramkan.
“Namun, saya cuba berfikir positif dan fokus untuk menimba pengalaman sebagai pelatih. Saya juga diberi banyak tugas sehingga perlu bekerja lebih masa,” katanya ketika dihubungi CitaRasa baru-baru ini.
Tambah Aimi, kejadian seram pertama berlaku semasa dia ke tandas.
Ketika itu, dia mendapati tandas tersebut kosong dan tiada tanda-tanda kehadiran orang lain.
Namun semasa menggunakannya, dia terdengar bunyi tapak kaki orang keluar dari tandas di sebelahnya.
Tambah membuatkan Aimi terkejut, pintu tandas tersebut dihempas dengan kuat.
Berasa seram dengan keadaan itu, Aimi terus bergegas keluar dan kembali menyambung kerjanya seperti biasa.
“Pada masa itu, saya tidak memikirkan sangat kejadian berkenaan.
“Namun, saya ada bertanya kepada pekerja lain sama ada pernah berlaku kejadian aneh di pejabat itu sebelum ini. Tetapi semua seperti mengunci mulut.
“Cuma ada seorang pekerja wanita memberitahu saya bahawa jika ada sesuatu yang aneh, jangan ditegur terutama di aras tiga iaitu ruang pejabat kami,” ujarnya.
Kongsinya, kejadian seram kedua berlaku semasa dia sedang bekerja lebih masa.
Pada hari itu, Aimi bersama seorang lagi kakitangan terpaksa balik lewat kerana perlu menyiapkan laporan harian.
Bagaimanapun, dia kemudian ditinggalkan bersendirian selepas rakannya terpaksa pulang lebih awal kerana ada hal kecemasan.
Semasa sedang menyiapkan tugasan iaitu sekitar pukul 9 malam, Aimi mendapati rakannya itu kembali ke pejabat dan duduk di sebelahnya.
Aimi ada bertanyakan kepada rakannya sebab dia kembali semula ke pejabat. Namun, tiada sepatah jawapan keluar dari mulut rakannya, sekali gus menyebabkan Aimi berasa curiga.
“Saya mula rasa pelik kerana pada awalnya, dia ingin pulang awal kerana ada masalah keluarga.
“Kemudian, tiba-tiba dia datang semula ke pejabat. Saya berasa curiga kerana dia tidak menjawab pertanyaan saya. Sebaliknya, dia hanya menatap skrin komputer yang tidak ‘menyala’,” kongsinya.
Disebabkan itu, Aimi segera menyiapkan kerja dan terus pulang dengan meninggalkan rakannya bersendirian di pejabat.
“Saya ada mengajaknya pulang, namun rakan saya itu hanya membisu,” ujarnya.
Malangnya, semasa tiba di stesen kereta api, Aini menyedari bahawa dompetnya tertinggal di pejabat.
Rentetan itu, dia terus menghubungi rakannya untuk mengambil dompetnya dan bawa ke stesen kereta api.
Ketika Aimi membuat permintaan tersebut, rakannya berasa sangat terkejut.
Menurut Aimi, rakannya memberitahu bahawa dia tidak pernah kembali ke pejabat dan sudah lama berada di rumah.
“Perasaan saya bercampur-baur ketika itu. Saya berasa sangat takut, namun bersyukur kerana tiada hal buruk berlaku.
“Pada masa sama, saya terfikir makhluk apa yang berada di sebelah saya ketika di pejabat tadi?
“Keesokannya, saya cerita hal tersebut kepada salah seorang rakan di pejabat. Dia kemudian memaklumkan bahawa ruang pejabat mereka memang ada penunggu. Makhluk itu suka mengganggu orang baharu sebagai ‘salam perkenalan’,” ujarnya.














