fbpx
Tanpa penukaran minyak enjin, minyak gear dan lain-lain, penggunaan kereta elektrik semakin menjadi pilihan pengguna di Malaysia antaranya kerana tidak perlu diselenggara dengan kerap sekali gus menjimatkan.

‘Tak perlu lagi selalu selenggara kereta’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LEBIH dua tahun menggunakan kenderaan elektrik (EV), Mohd. Zahid Rashid semakin serasi dengannya dan kian merasakan penggunaan kenderaan itu lebih menjimatkan berbanding menggunakan kereta petrol dahulu.

Mohd. Zahid, 39, yang menjadi antara individu terawal memiliki EV di Perlis mengakui kenderaan tersebut menawarkan pengalaman luar biasa dan memberikan penjimatan terutama dalam soal penyelenggaraan.

Menggunakan EV model BYD Atto 3, Mohd. Zahid mengakui kini sudah jarang menjejaki bengkel kereta.

“Saya sudah jarang ke bengkel. Dua tahun ini saya ke bengkel dalam dua atau tiga kali sahaja antaranya untuk servis dan memeriksa penyaman udara.

“EV hanya perlu membuat penyelenggaraan selepas 15,000 hingga 20,000 kilometer (km) dan tidak perlu penyelenggaraan berkala minyak enjin, minyak gear dan lain-lain,” katanya kepada CitaRasa.

Sebuah EV sedang dicas di satu lokasi pengecasan di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
– AMIR KHALID

Memberi kelebihan juga buat Mohd. Zahid apabila menggunakan tenaga solar sebagai sumber elektrik di rumah. Langkah itu memberikan penjimatan kepada penggunaan elektrik untuk mengecas EV tanpa perlu ke lokasi pengecas.

“Dahulu mungkin sedikit, tetapi sekarang tempat mengecas sudah tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Cuma di Perlis agak terhad buat masa ini iaitu hanya ada satu di Kangar Jaya.

“Walaupun stesen pengecas tidak banyak seperti stesen minyak, tetapi pemandu boleh mengetahui lokasi stesen menerusi aplikasi,” ujarnya yang lazim akan mengecas EV di rumah selepas pulang dari tempat kerja dan akan menggunakannya setelah penuh keesokan harinya.

Bagi Mohd. Zahid, sepanjang lebih dua tahun menggunakan EV, dia mendapati EV sangat bagus dan selesa tidak mengira sama ada pemanduan jarak dekat atau jauh.

“Kos penggunaannya juga lebih jimat. Kebiasaannya sebelum ini saya membelanjakan sekitar RM300 sebulan untuk kos petrol, tetapi kos cas EV pula boleh dianggarkan sekitar RM200.

“Kerajaan juga menggalakkan dengan menawarkan rebat terhadap pembelian EV, selain memiliki rekaan canggih dengan teknologi dan ciri keselamatan tinggi,” katanya.

Penggunaan EV di Malaysia dilihat kian popular dalam kalangan pengguna. Boleh dikatakan, ia menjadi ‘hype’ sejak pelancaran EV Tesla Model Y di negara ini pada tahun 2023.

Data mendedahkan semakin ramai rakyat Malaysia memilih EV. BMW Group Malaysia bersama Persatuan Kenderaan Beremisi Sifar Malaysia (MyZEVA) pada September tahun lalu mendedahkan data yang menunjukkan peningkatan ketara dalam penggunaan EV di Malaysia.

Lebih daripada 27,000 EV telah didaftarkan di seluruh negara antara Jun 2021 hingga Jun 2024.

Satu lagi faktor penting yang menyumbang kepada populariti EV ialah kos pemilikan yang lebih rendah. Data menunjukkan bahawa pengecasan di rumah bagi model seperti BMW iX1 adalah 65 peratus lebih murah berbanding mengisi minyak BMW X1 (menggunakan RON97).

Difahamkan, kos servis kenderaan juga lebih murah dengan kenderaan petrol kira-kira RM300, manakala EV RM200 bagi perkhidmatan tersebut.

Di Malaysia, model kenderaan EV pertama keluaran Proton, e.MAS 7 pernah dilapor menjadi model EV paling laris yang terjual sebanyak 3,632 unit dalam hanya lima bulan.

Bagi salah seorang pengguna e.MAS 7, Matin Ikhtizar Khairat, 31, bukan saja bangga menggunakan kenderaan jenama kebangsaan, tetapi kenderaan itu turut memenuhi keinginannya.

Baru enam bulan menggunakan EV, Matin memberitahu, sepanjang tempoh itu hanya sekali membawa kenderaannya untuk diselenggara.

“Kalau dahulu masa menggunakan ICE, setiap 10,000km saya sudah bawa ke bengkel untuk diselenggara, tetapi EV biasanya disarankan untuk setiap 20,000km. Maka sekali setahun pun sudah memadai,” katanya.

Menyentuh mengenai tempoh mengecas, katanya, ia bergantung kepada jenis pengecas dan selalunya sekitar empat jam jika menggunakan pengecas AC.

“Buat masa ini saya lebih fokus kepada stesen pengecas komersial seperti pusat beli-belah kerana sambil membeli barangan keperluan atau makan, saya boleh mengecas kereta pada anggaran masa sekitar 30 hingga 40 minit.

“Buat masa sekarang, saya masih belum membuat pemasangan pengecas di rumah dan bergantung sepenuhnya kepada stesen pengecas. Sementara menunggu, saya selalunya akan habiskan masa dengan minum-minum di kafe atau mengambil peluang untuk solat.

“Saya juga sering berehat dalam kereta dengan pendingin hawa terpasang. Dengan EV ini tiada asap dilepaskan dan tidak akan menjejaskan orang sekeliling terutama di kawasan parkir atau ruang tertutup,” ujarnya.

Kongsi Matin lagi, keretanya ‘pendiam’ kerana tidak mengeluarkan bunyi bising sekali gus menjadikan pemanduan lebih responsif, selesa dan senyap.

Rekaan dalaman yang luas pula membuatkan pemandu dan penumpang berasa selesa untuk menikmati perjalanan jarak jauh.

MATIN IKHTIZAR

Biarpun teruja menggunakan EV, namun Matin tidak menafikan dia berasa kekok atau lazim disebut orang range anxiety berhubung pengecasan dan pemanduan pada awal penggunaan keretanya.

“Saya agak kekok untuk memandu EV pada jarak jauh kerana perlu mengetahui lokasi pengecas. Tetapi lama kelamaan saya mula faham cara pengendalian dan semua itu sudah menjadi mudah serta rutin.

“Perjalanan paling jauh saya setakat ini ialah ke Padang Besar, Perlis dan Pasir Puteh, Kelantan. Bagi saya agak mencabar kerana stesen pengecas selepas Pulau Pinang dan Pantai Timur masih terhad dan perlu menunggu lama untuk mendapatkan peluang mengecas.

“Jadi sebelum memulakan perjalanan, saya akan pastikan laluan yang diguna itu mempunyai stesen pengecas bagi memastikan perjalanan berjalan lancar dan selamat ke destinasi,” katanya.

Sebagai individu yang gemar melakukan aktiviti perkhemahan, Matin juga kini tidak lagi berdepan masalah mendapatkan sumber tenaga elektrik bagi menggunakan peralatan seperti televisyen, kipas atau komputer riba.

Berfungsi sebagai ‘powerbank’ bergerak, EV yang berfungsi sebagai Vehicle to Load (V2L) membolehkan tenaga dari bateri kereta digunakan kepada barangan elektrk.

“Mereka yang suka berkhemah cara moden iaitu menjadikan kereta sebagai tempat tidur sangat sesuai menggunakan EV. Saya juga boleh bersantai dengan menghidupkan pendingin hawa dan tidur dalam kereta dengan selesa tanpa risau kebocoran karbon monoksida,” katanya.

Meskipun masih baru menggunakan EV, namun Matin sudah membulatkan hati untuk terus setia menggunakannya dan tidak lagi kembali ke ICE.

“EV beri saya pengalaman yang lebih tenang, jimat dan praktikal. Kalau ada rezeki lebih nanti, saya bercadang untuk membeli sebuah lagi EV untuk kegunaan isteri,” katanya dengan nada teruja.

Bagi Ketua Pegawai Operasi Energi Elite, Azhar Zein yang menyediakan perkhidmatan pemasangan dan alat pengecas di rumah berkata, terdapat peningkatan kira-kira 200 peratus terhadap alat pengecas sejak tiga tahun lalu.

Sebagai orang dalam industri EV, Azhar berkata, biarpun harga EV sedikit mahal berbanding ICE, tetapi pengguna mendapat penjimatan dari segi kos selenggara dan bayaran petrol atau diesel.

“Kos penjagaan EV juga tidak rumit seperti ICE yang perlu dipantau dari semasa ke semasa dan perlu mengambil kira banyak bahagian pada ruangan enjin.

“EV sebaliknya menggunakan enjin elektrik yang hanya berfungsi on (buka) & off (tutup) dan tidak perlu kos minyak pelincir, minyak hitam dan sebagainya.

“Mungkin harga sedikit mahal untuk peringkat awal, tetapi saya yakin pada masa mendatang EV akan terus mendapat tempat di hati pengguna dan lebih banyak stesen pengecas akan beroperasi seperti stesen minyak,” katanya.

Menyokong pandangan itu, Mateen Isa, 31 yang juga pengguna BYD Dolphin berpendapat penggunaan EV dapat mengurangkan kebergantungan kepada minyak mentah.

Ahli kumpulan FastEV itu menyifatkan transformasi moden membuatkan kehidupan menjadi lebih baik sekali gus menuju negara pintar.

“Kita sudah melihat pelbagai inovasi peralatan elektrik seperti televisyen, komputer riba, telefon bimbit dan fon telinga.

“Kekangan yang ada kini mungkin hanya kekurangan stesen pengecas dan tempoh masa pengecasan yang lama, tetapi percaya atau tidak lama-kelamaan stesen pengecas ini akan terus meluas.

“Mungkin satu hari nanti akan ada EV memiliki bumbung panel solar yang terus boleh mengecas saat pemanduan dan akan lebih menjimatkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN