fbpx

Sri Pahang hanya undur selangkah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SRI PAHANG sah tidak akan menyertai saingan Liga Malaysia musim depan biarpun diberikan lesen kebangsaan.

PASUKAN Sri Pahang dijangka tidak terkubur sepenuhnya dan boleh bangkit dengan lebih gah pada masa akan datang selepas mengambil keputusan tidak lagi bertanding dalam saingan Liga Malaysia musim 2025/2026.

Pandangan itu disuarakan oleh legenda bola sepak skuad Tok Gajah, Datuk Jamal Nasir yang percaya pihak pengurusan pastinya ada alasan tersendiri untuk menarik diri daripada bertanding dalam arena profesional.

Kata Jamal, keputusan tersebut pasti tidak dibuat sewenang-wenangnya selepas mengambil kira situasi sulit yang pernah dihadapi mereka musim lalu.

“Bagi saya, tak salah kalau Sri Pahang ambil satu langkah ke belakang (undur diri) supaya mereka boleh buat persiapan lebih rapi dan perbaiki apa yang patut agar dapat bangkit semula pada masa depan, apa pun saya tetap positif dengan keputusan yang telah dibuat ini,” katanya.

Mengulas lanjut, legenda bola sepak negara era 70-an ini menyeru agar penyokong setia Sri Pahang bersabar dan kekal positif walaupun pasukan tidak lagi beraksi pada musim depan.

“Sudah tentu keputusan yang dibuat ini mengecewakan seluruh peminat bola sepak Pahang sebab kelab ini pernah menjadi antara yang terbaik dalam Liga Super sehingga mereka pernah ke final Piala Malaysia dan akhirnya musim depan terpaksa menarik diri.

“Saya harap penyokong dapat bersabar dan mungkin ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu oleh mereka dan keputusan untuk menarik diri adalah yang terbaik,” katanya.

Sebagai rekod, Sri Pahang menamatkan saingan Liga Super musim lalu di kedudukan kelapan selain mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri pada kempen Piala Malaysia sebelum tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-1 di pentas final.

Ketiadaan Sri Pahang menyaksikan hanya 13 pasukan akan bertanding dalam kempen Liga Super dengan tiga pasukan baharu seperti Brunei DPMM FC, Melaka FC dan Imigresen FC.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI