fbpx
Hanya hukuman paling berat mampu mengurangkan kadar kemalangan maut di negara ini. - GAMBAR HIASAN

Jangan biarkan jalan raya jadi ‘kubur terbuka’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ADA yang kata, kalau nak membunuh orang sekarang, tidak perlu pistol, tidak perlu parang dan tidak perlu pun drama gaduh depan kedai mamak, cukup dengan membawa bas.

Ya, bawa saja bas, tekan minyak kuat-kuat, langgar dan jangan risau sangat. Undang-undang jalan kita belum tentu mampu buat pesalah menyesal.

Saya tidak suka menulis de­ngan nada begini, tapi bagaimana lagi hendak membangkitkan rasa? Statistik bukan lagi angka di kertas, ia sudah menjadi bau darah dan jeritan di jalan raya.

Bila berlaku kemalangan me­libatkan bas, lori atau kende­raan berat, lazimnya diikuti dengan susunan skrip yang sama, siasatan dilakukan dan SOP pemanduan akan diperketat.

Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu bagus, tapi sudah tua. Dalam banyak perkara, ia masih berpandukan zaman telefon awam dan peta kertas. Zaman sekarang, orang boleh langgar mati dan disiar secara langsung di media sosial, tapi kita masih berbicara tentang kompaun RM300 serta tempoh penjara yang singkat.

Pernahkah kita tanya, mengapa masih ada pemandu bas yang kerja lebih 12 jam tanpa rehat, mengapa pemandu lori boleh buat U-turn di lebuh raya, atau kenapa lesen GDL boleh dimiliki oleh sesiapa yang ‘lulus’ tanpa ada pemantauan kesihatan yang betul?

Jawapannya mudah, undang-undang kita belum cukup marah. Bila undang-undang tidak mendidik, jalan raya jadi kubur terbuka.

Tahun demi tahun, kita bercakap soal keselamatan jalan raya, tapi mengapa angka korban masih banyak di lebuh raya, bas dan lori yang boleh digelar dua raksasa bertayar terus jadi mimpi ngeri kepada kereta kecil.

Apa gunanya teknologi ka­mera had laju, sistem AES, dashcam, sekiranya asas perundangan kita masih bersifat “maaf, jangan buat lagi”?

Kalau membunuh dengan senjata dikira jenayah berat, kenapa membunuh dengan kenderaan dianggap kecuaian biasa, tetapi nyawa manusia berubah nilai hanya kerana ia melibatkan stereng dan tayar.

Sebelum ini Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihak kementerian dalam pe­ringkat akhir untuk menyemak Akta Pengakutan Jalan sedia ada bagi mendapat hukuman setimpal kepada pesalah.

“Kementerian Pengangkutan sedang dalam peringkat akhir menyemak beberapa peruntukan dalam Akta Pengangkutan Jalan, termasuk Seksyen 41 dan 42, agar hukuman lebih se­timpal dengan kesalahan,” katanya.

Tidak dinafikan, bukan semua pemandu bas dan lori cuai. Ramai yang jujur, berdisiplin, dan memandu ikut masa, tetapi sistem yang membiarkan pelanggaran demi pelanggaran tanpa hukuman setimpal.

Pakar keselamatan jalan raya dari Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Law Teik Hua berkata, hukuman mandatori atau hukuman paling berat perlu dimasukkan ke dalam Akta Pengangkutan Jalan bagi menghukum pesalah trafik yang menyebabkan kemalangan melibatkan kematian.

“Ini bukan soal undang-undang semata-mata, tapi mesej kepada masyarakat bahawa nyawa rakyat ada nilai,” katanya.

Sudah tiba masa kita tidak hanya bercakap soal kesedaran, tapi juga ketegasan, nyawa manusia bukan statistik tahunan. Ia adalah harga sebenar kepada sistem yang gagal melihat bahawa jalan raya bukan medan percubaan.

Bicara ini bukan untuk menyalahkan, tetapi untuk mengingatkan bahawa dalam negara yang bertamadun, nyawa tidak boleh dianggap seperti batu kecil atas lorong kecemasan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN