KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu berdiri sendiri di bawah satu kementerian khusus selepas dilihat menjadi agensi ketiga terbesar bersama Angkatan Tentera Malaysia selepas sektor kesihatan dan pendidikan.
Perkara itu disampaikan Tan Sri Razarudin Husain semasa berucap pada Majlis Serah Terima Tugas dan Paluan Undur Ketua Polis Negara (KPN) di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Kata Razarudin, umum mengetahui, ketiga-tiga sektor ini hanya menaungi satu agensi tunggal di bawah satu kementerian.
Beliau percaya keupayaan pasukan akan menjadi lebih utuh sekiranya diletakkan di bawah satu kementerian khusus.
“Kertas cadangan telah diangkat kepada Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri untuk pertimbangan.
“Cadangan ini merujuk kepada ‘benchmark’ agensi kepolisan antarabangsa seperti China, Brazil, Vietnam, Korea Selatan dan Brunei yang turut diletakkan di bawah satu kementerian khusus.
“Saya melihat keperluan ini sebagai suatu resolusi penting untuk memastikan PDRM terus relevan, selari dengan evolusi era globalisasi dan digital masa kini. Besar harapan saya bersama barisan kepimpinan tertinggi agar cadangan ini dapat direalisasikan,” katanya.
Razarudin optimis resolusi itu akan membawa kebaikan dan perubahan besar dalam memperkasakan perkhidmatan awam demi kemaslahatan bersama.
Mengulas lanjut mengenai persaraannya, Razaruddin menyeru warga Sang Saka Biru agar membulatkan kesepakatan dan terus bersatu hati.
Beliau turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail yang dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-15.
“Bersama kita martabatkan PDRM untuk kekal relevan dan terus diperlukan oleh masyarakat, menjadi rakan strategik terpenting kepada semua agensi awam serta diiktiraf sebagai institusi kepolisan yang cemerlang, gemilang dan terbilang di persada dunia.
“Saya percaya pemilihan (Mohd. Khalid) adalah berdasarkan pengalaman dan kredibiliti yang diyakini untuk memimpin pasukan ke mercu kegemilangan. Sampai di sini kenangan terukir. Selamat Maju Jaya buat semua,” katanya. – KOSMO! ONLINE