PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan isu dadah dan vape dalam kalangan anak muda perlu diberi perhatian segera memandangkan ramai anak-anak Melayu paling ramai terkesan.
Perdana Menteri berkata, perkara itu perlu dibincangkan segera dengan mencari jalan penyelesaian bersesuaian ekoran isu dadah dan vape berlarutan dalam tempoh panjang.
“Tadi mesyuarat kabinet, (bincang isu) dadah dan vape dalam kalangan anak-anak kita, tolonglah bincang apakah perlu kaunseling, perlu dakwah. Berpuluh tahun kita fikir belum selesai.
“Betul ada anak Cina, India tetapi lebih parah anak Melayu, membunuh jiwa mereka dari kecil. Kena lakukan sesuatu, kena bincang,” katanya ketika berucap pada Majlis Seminar Malaysia Madani Guru Pemangkin Patriotisma Negara, di sini hari ini.
Terdahulu, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan, platform dalam talian yang membenarkan penjualan produk terlarang termasuk dadah dicampur dalam cecair vape akan dikenakan tindakan tegas.
Untuk itu, satu mesyuarat bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali akan diadakan dalam masa terdekat untuk membincangkan penguatkuasaan itu.
Semalam, Presiden Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Dr. M Murallitharan menggesa kerajaan bertindak tegas termasuk menggantung lesen, denda maksimum dan pendakwaan di mahkamah terhadap peniaga vape yang melanggar Akta Kawalan Produk Merokok Untuk Kesihatan Awam 2024 (Akta 852). – KOSMO! ONLINE