Antara hasil seharian memancing di Port Klang.

K2

Siapa kata Port Klang sudah kurang ikan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Jika kita berusaha, berdoa dan bertawakal, rezeki jarang salah alamat. Ada sahaja tangkapan yang boleh dibawa pulang sebagai juadah sekeluarga jika turun memancing di perairan Port Klang, Selangor. Jadi, tidak perlu takut atau gusar.

Pengalaman saya memancing di sekitar perairan ini adalah bukti perairan Port Klang masih lagi berproduktif.

Antara kawasan yang masih berbisa lagi hasil pancingannya adalah di hadapan North

Port berhampiran boya hijau membawa ke kapal karam dan tepi kawasan pokok bakau kira-kira 200 meter (m) dari laluan feri ke Pulau Ketam.

Lokasi tersebut menjadi ‘rumah’ bagi ikan jenahak, sembilang, senangin, pari, kurau serta kerapu dan lain-lain spesies lagi.

Apa yang penting adalah pembacaan pasang surut air kena betul serta umpan ampuh. Saya pernah mendapat kurau dengan hanya berumpankan perumpun.

Malah, kawan saya juga pernah memperolehi ikan yang sama hanya menggunakan umpan udang pasar.

Saya lebih suka meneroka beberapa kawasan baharu secara solo agar bebas tanpa tekanan, walaupun hasil diperolehi tidak
berbaloi dengan kos dikeluarkan.

Namun, bermacam-macam perkara baru yang dapat saya pelajari dari masa ke masa.

Lubuk-lubuk ikan
Kadang-kadang, saya juga memancing di sekitar bawah Jambatan Muhibbah yang menjadi lokasi pemancing pantai dengan hasil ikan seperti gelama, sembilang, tetanda serta pari.

Bila tiada lagi ragutan, saya akan berpindah pula di
sekitar Bagan Hailam berhampiran Terminal Feri Pulau Ketam.

Selain itu, lokasi Tiang Api Nombor 19 atau ada yang menggelarkannya Labuhan Kurap di muara sungai bersebelahan kilang Oriental Steel Pipe dengan kedalaman antara 10 hingga 20 meter (m) mempunyai spesies ikan tidak disangka-sangka.

Saya pernah memancing di situ menggunakan kaedah pelampung berumpankan udang hidup dengan harapan ada ikan siakap putih yang sudi, sebaliknya ikan talang terpedaya.

Lokasi lain pula adalah seperti Tiang Api Nombor 24 yang juga dikenali sebagai Sarang Lang menjadi lubuk ikan pari, sembilang, senangin, gerut-gerut dan juga jenahak.

Selepas kawasan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebelum tiba ke Terminal Feri Star Cruise terdapat lubuk ikan pari dan daun baru.

Manakala di kawasan bakau berhadapan Terminal Feri Star Cruise terdapat kawasan permainan pelbagai spesies ikan gelama, tetanda, pari dan siakap putih.

Ikan-ikan yang didaratkan di Port Klang.

Namun, jika anda tidak bersedia dengan pakaian ala-ala ninja, alamat menjadi santapan agas yang tidak bosan menyerang dari pelbagai sudut.

Antara tempat-tempat yang tidak kurang hebatnya adalah di hujung sebelah kiri laluan feri Pulau Ketam, tepatnya di tepi tebing bakau menghadap sangkar ikan.

Di sana banyak ikan kerapu, gerut-gerut, tebal pipi dan tetanda.

Lokasi sekitar tangki air Pulau Ketam berhampiran dengan muara Sungai Lima juga ada lubuk yang tidak akan mengecewakan jika kena pada pasang surut airnya.

Kebanyakan ikan di sekitar Pulau Ketam ini makan umpan ketika arus mula bunga-bunga pasang.

Anda juga boleh memancing di sekitar sangkar ikan yang banyak terdapat di sekitar pulau ini.

Cuma anda tidak dibenarkan menambat bot di sangkar ikan tersebut.

Saya juga pernah memancing berhadapan dengan kawasan tidak jauh dari jeti feri Pulau Ketam yang kedalamannya tidak sampai 10 m dan hasilnya saya mendapat ikan siakap merah.

Jika bergerak dalam satu kilometer lagi, berhadapan dengan alur anak sungai kecil terdapat lubuk ikan sembilang.

Kawasan sekitar Stesen Janakuasa Kapar juga tidak kurang hebatnya.

Begitu juga dengan kawasan rumah api sekitar Batu Pacak.

Umpan memainkan peranan sangat penting untuk pancing dasar. Antaranya adalah sotong kurita, udang lipan dan udang hidup.

Namun jangan sesekali menidakkan umpan ikan belanak hidup dan selangat sama ada mati atau hidup. Ini kerana, kilauan sisiknya berupaya menggoda ikan.

Sejujurnya, saya hanya menyenaraikan beberapa lokasi yang pernah saya kunjungi bagi menyangkal dakwaan bahawa Port Klang sudah kurang ikan.

Apa yang penting, jangan pernah bosan meneroka lubuk-lubuk baharu dengan ikan diperolehi mungkin da­ripada spesies tidak disangka-sangka.

Malah, ketika saya menjadi pembantu penimbang berat ikan pada pertandingan memancing Royal Selangor Yacht Club (RSYC) dengan kerjasama Persatuan Pengail

Selangor serta Persatuan Bot Rekreasi Selangor (PBRS) pada 2023 dan 2024, saya menyaksikan pelbagai spesies ikan
berjaya didaratkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN