KUCHING – Enam premis memproses sisa elektronik (e-waste) beroperasi secara haram di Sarawak digempur, yang membawa kepada rampasan dianggarkan bernilai lebih RM19.6 juta.
Timbalan Komander Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak, Asisten Komisioner Rosdi Inai berkata, dua daripada premis tersebut adalah di Kuching, Kota Samarahan (1), Sibu (1) dan Bintulu (2), didapati beroperasi tanpa permit atau lesen yang sah daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Siasatan lanjut mendapati sindiket ini membeli dan mengumpul barangan e-waste secara haram dari kawasan sekitar sebelum dihantar ke Semenanjung Malaysia untuk meleraikannya bagi mendapatkan logam berharga seperti emas, perak dan tembaga yang boleh dikitar semula.
“Sindiket ini juga beroperasi di lokasi premis-premis terpencil bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menjelas lanjut, beliau berkata kesemua premis itu diserbu dalam operasi bersepadu Op Hazard 2.0 Sarawak yang dijalankan antara pukul 10 pagi hingga 9 malam kelmarin melibatkan PGA Briged Sarawak bersama-sama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak, JAS Sarawak, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Siasatan Jenayah D4.
Rosdi menambah, pasukan serbuan turut berjaya menahan 12 lelaki dan seorang wanita warga tempatan berumur antara 24 hingga 58 tahun serta enam lelaki dan seorang wanita warga asing berusia antara 21 hingga 32 tahun.
Katanya kesemua tangkapan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah dan JIM Sarawak manakala rampasan diserahkan kepada pihak JAS Sarawak dan Jabatan Siasatan Jenayah D4 untuk tindakan dan siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE