LOS ANGELES – Paris Saint-Germain (PSG) membuktikan status sebagai juara baharu Eropah apabila mudah menewaskan Atletico Madrid 4-0 pada aksi sulung Kumpulan B Piala Dunia Kelab (CWC) 2025 di Stadium Rose Bowl awal pagi semalam.
Meskipun beraksi dalam keadaan cuaca panas, namun kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan cukup baik dengan lebih 80,000 penonton membanjiri stadium bagi menyaksikan pertembungan dua jaguh Eropah itu.
Jurulatih PSG, Luis Enrique berkata, beliau gembira dengan permulaan positif yang dicatat skuad kendaliannya memandangkan mereka menggalas misi menjadi juara bagi meneruskan kesinambungan memenangi Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
“Perlawanan hari ini (semalam) disusun dengan baik dan waktu yang sangat sesuai untuk negara-negara Eropah. Bagaimanapun, bukan sesuatu yang mudah untuk kami beraksi dalam keadaan cuaca seperti ini.
“Saya gembira kerana perlawanan ini mendapat sambutan cukup luar biasa. Kami juga mahu mengekalkan rentak konsisten dan semua pemain dapat melaksanakan tugas dengan cukup baik,” katanya.
Pada perlawanan itu, PSG yang turun tanpa pemain bintang, Ousmane Dembele berjaya meledak empat gol menerusi jaringan Fabian Ruiz, Vitinha, Senny Mayulu dan Lee Kang-in.
“Semua orang tahu Atletico merupakan pasukan yang sangat bagus dan agresif tetapi kami menjalankan tugas dengan baik. Kami sepatutnya menang dengan jaringan lebih besar tetapi ini pun sudah memadai,” ujar Enrique. – AGENSI