KLANG – Aduan bunyi bising terutama pada waktu malam di sebuah rumah di Taman Klang Jaya di sini, membongkar penempatan transit pendatang asing tanpa izin (PATI).
Difahamkan, rumah teres satu tingkat itu disewa warga Indonesia kebanyakkannya bagi mendapatkan pekerjaan di sekitar daerah ini.
Selain lokasi berkumpul, kediaman itu dijadikan sebagai tempat persinggahan atau transit sebelum mereka berpindah ke lokasi lain.
Pengarah Imigresen negeri, Khairul Aminus Kamarudin berkata, serbuan menerusi Ops Sapu itu berjaya menahan empat PATI termasuk pasangan suami isteri berusia satu hingga 55 tahun kira-kira pukul 10.20 malam tadi.
Katanya, penduduk mendakwa kerap terganggu dengan bunyi bising dari rumah itu yang dipercayai menjadi transit warga asing.
“Siasatan mendapati si suami berusia 55 tahun dipercayai bekerja sebagai buruh binaan manakala isterinya berusia 41 tahun tidak bekerja dan hanya tinggal di rumah. Seorang lagi yang ditahan merupakan rakan kepada keluarga tersebut,” katanya hari ini.
Tinjauan Kosmo! mendapati rumah yang berada di lot tepi itu mempunyai beberapa bilik dengan kebanyakannya dihuni wanita termasuk kanak-kanak.
Menurut Khairul Aminus, semakan mendapati kesalahan yang dikesan termasuk tiada permit sah dan tinggal lebih masa di negara ini.
Tambahnya, kesemua individu yang ditahan akan dibawa ke Depoh Imigresen Semenyih bagi tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Tindakan akan diambil terhadap individu atau pemilik premis yang melindungi atau menyediakan tempat tinggal kepada PATI,” katanya.-KOSMO! ONLINE