KUALA LANGAT – Tiada sebarang unsur jenayah dikesan pada mayat wanita warga asing hampir reput ditemui di tepi pantai Kampung Tumbuk Tanjung Sepat di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat tersebut kira-kira pukul 12.46 tengah hari.
Katanya, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mayat tersebut tersebut terbaring di tepi pinggiran pantai.
“Pemeriksaan fizikal terhadap tubuh badan mendapat mayat itu sudah mereput dan tiada sebarang unsur jenayah pada mayat dan tempat kejadian.
“Polis telah berusaha membuat pengesanan waris dan kenalannya namun sehingga kini tiada mana-mana pihak tampil hadir bagi tujuan pengecaman dan tuntutan mayat tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, kata beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – KOSMO! ONLINE