KUALA LUMPUR – Kekalahan 0-4 kepada Harimau Malaya meninggalkan kesan mendalam buat Vietnam yang kini mula pasang impian untuk melunaskan misi balas dendam pada perlawanan timbal balik kelayakan Piala Asia 2027 di Hanoi, Mac tahun depan.
Pengendalinya, Kim Sang-sik mengidam untuk melakukan transformasi ke dalam pasukannya dan membayangkan aksi di Hanoi sebagai detik penentu kepada slot ke Piala Asia 2027.
“Dalam perlawanan ini saya merasakan Malaysia cukup kuat dengan kehadiran ramai pemain luar (warisan). Itu adalah fakta yang kami perlu terima.
“Namun kami akan ke Hanoi, tiada siapa yang tahu mungkin kami boleh menang 4-0 atau 5-0 di Hanoi dan saya kena melakukan persiapan untuk menghadapinya,” katanya.
Kenyataan Sang-sik nyata berasas selepas Harimau Malaya memperoleh dua gol daripada dua pemain warisan baharu, Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado sebelum La’Vere Corbin-Ong dan Dion Cools melengkapkan dua lagi jaringan buat Harimau Malaya.
Berbeza dengan beberapa pertemuan sebelum ini, kehadiran pemain warisan dalam skuad Harimau Malaya menjadikan Vietnam seperti hilang arah dan segalanya berubah selepas Sang-sik hilang tonggak penting di barisan pertahanan.
“Kami kehilangan pertahanan. Itu punca utama kekalahan kami, sistem pertahanan kami benar-benar terkesan dan Malaysia berjaya memanfaatkannya,” katanya. – KOSMO! ONLINE