MONTREAL – McLaren mahu meneruskan momentum positif mereka menjelang perlumbaan Formula Satu (F1) pada Grand Prix (GP) Kanada 2025 di Litar Gilles Villeneuve hujung minggu ini.
Selepas menguasai tujuh daripada sembilan pusingan musim ini menerusi dua pemandunya, Lando Norris dan Oscar Piastri, pasukan berpangkalan dari Woking, England itu kini dilihat antara pencabar utama kejuaraan dunia.
Ketika ini, Piastri paling garang dengan lima kemenangan, termasuk kejayaan terbaharunya di GP Sepanyol dua minggu lalu sekali gus menyuntik keyakinan tinggi buat pemandu Australia itu mengekalkan dominasi terbaiknya minggu ini..
“Saya berasa sangat positif dan fokus menuju ke Montreal. Ini peluang terbaik untuk teruskan momentum kukuh dan saya tak sabar hadapi cabaran di litar pantas ini,” kata Piastri.
Norris juga tidak kurang hebatnya dan dilihat semakin selesa mengemudi jentera McLaren.
Bagi pelumba Britain itu, masa yang diluangkan bersama pasukan digunakan sepenuhnya untuk mengukuhkan persiapan.
“Selepas rehat tanpa perlumbaan, saya teruja untuk kembali berlumba. Minggu lalu sangat bermakna bersama pasukan, kami teliti semula apa yang telah dicapai setakat ini dan fokus pada Kanada.
“Saya suka suasana di Montreal dan akan buat yang terbaik untuk buru kemenangan serta kumpul mata penting,” katanya.
Prinsipal McLaren, Andrea Stella mengakui tempoh rehat agak singkat berjaya dimanfaatkan sepenuhnya mereka untuk menilai prestasi dan strategi.
“Minggu ini sangat produktif untuk kami nilai semula pencapaian. Walaupun permulaan musim agak kukuh, pesaing kami sangat hampir. Jadi tumpuan penuh perlu diberi setiap minggu untuk kekal konsisten,” katanya. – AGENSI