KOTA BHARU – “Brek kosong dan saya sudah elak banyak kereta, tetapi akhirnya terpaksa langgar Perodua Alza di depan dan besi pembahagi jalan.”
Demikian penjelasan pemandu bas persiaran yang terlibat dalam nahas yang mengorbankan 15 penuntut Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Jeli-Gerik dekat Tasik Banding, Perak semalam.
Menurut lelaki berusia 39 tahun itu, dia tidak mempunyai pilihan apabila terpaksa merempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza selepas mendapati brek kenderaan yang dipandunya ‘kosong’ sejauh beberapa kilometer.
Katanya, dia turut menarik brek tangan beberapa kali, namun kenderaan tersebut gagal berhenti.
“Saya sudah mengepam banyak kali brek kaki, namun rasa kosong. Saya mengelak banyak kereta sebelum hilang kawalan dan merempuh Perodua Alza dan besi jalan.
“Selepas bas terbalik, saya keluar melalui cermin hadapan dan memanggil penumpang keluar melalui laluan tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Pemuda dari Besut, Terengganu itu memberitahu, dia sama sekali tidak menyangka nahas tersebut mengorban 15 nyawa. Itu merupakan kejadian pertama yang dialaminya sejak memandu bas kira-kira lima tahun lalu.
Lelaki itu memberitahu, bas tersebut kelihatan seolah-olah dipandu laju kerana brek tidak berfungsi.
“Ditambah pula keadaan jalan yang menuruni bukit, kelajuan bas akan bertambah apabila tidak dapat menekan brek. Saya seolah-olah mati hidup semula apabila masih bernyawa selepas nahas itu.
“Ketika ini saya dirawat di Hospital Taiping ekoran kecederaan pada jari dan tangan akibat terkena serpihan cermin pecah. Saya sedang menunggu untuk menjalani pembedahan,” katanya.
Dalam kejadian pukul 12.45 tengah malam itu, seramai 15 pelajar UPSI termasuk 10 perempuan maut selepas bas yang dinaiki mereka merempuh Perodua Alza sebelum terbalik di laluan berkenaan.
Ketika kejadian bas persiaran membawa 42 pelajar yang disewa khas itu dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu menuju ke kampus UPSI di Tanjung Malim.
Empat beranak yang menaiki Perodua Alza turut cedera dan menerima rawatan di Hospital Baling. – KOSMO! ONLINE