SUBANG JAYA – Seorang wanita yang ditahan bersama teman lelaki kerana disyaki mendera dua anak perempuannya berusia 16 dan empat tahun di Puchong, di sini, Rabu lalu, akan dituduh di mahkamah, esok.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima arahan tersebut selepas merujuk kertas siasatan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR) hari ini.
“Ibu mangsa akan dituduh di bawah Seksyen 323 dan 326A Kanun Keseksaan manakala teman lelaki dijadikan saksi pendakwaan.
“Kes akan dijalankan di Mahkamah Shah Alam, esok,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Komo! melaporkan seorang wanita dan teman lelaki yang disyaki mendera dua anak perempuannya ditahan polis di Puchong.
Perbuatan pasangan berusia 37 dan 42 tahun terbongkar selepas anak sulung wanita itu berjaya melarikan diri dan meminta bantuan penduduk setempat.
Wan Azlan dilaporkan berkata, hasil siasatan mendapati dua beradik itu tidak diberi makan oleh penjaga, walaupun tidak dikurung secara fizikal. – KOSMO! ONLINE