KUANTAN – Seorang pegawai penyelidik mengalami kerugian sebanyak RM600,500 selepas terperdaya dengan skim pelaburan saham tidak wujud.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian di Rompin itu bermula pada 21 Mac lalu selepas mangsa yang merupakan wanita berumur 57 tahun dimasukkan ke dalam satu kumpulan aplikasi WhatsApp.
“Mangsa turut diarahkan untuk memuat turun satu aplikasi melalui pautan yang diberikan oleh suspek bagi tujuan pelaburan.
“Tiga transaksi pelaburan awal berjumlah RM14,000 telah dilakukan oleh mangsa dan berjaya membuat satu pengeluaran awal sebanyak RM1,000. yang meyakinkan mangsa untuk meneruskan pelaburan,”katanya di sini hari ini.
Menurut Yahaya seterusnya, dalam tempoh 23 April 2025 hingga 4 Jun 2025 mangsa telah melakukan sebanyak 28 transaksi dalam talian ke tiga akaun bank berbeza sehingga jumlah pelaburan mencecah RM600,500,”katanya di sini hari ini.
Katanya, paparan dalam aplikasi tersebut menunjukkan anggaran keuntungan melebihi RM300,000.
“Namun apabila mangsa cuba mengeluarkan wang sebanyak RM50,000, suspek telah meminta bayaran sebanyak RM200,000 sebagai caj perkhidmatan dan mangsa mula menyedari dirinya telah ditipu,”katanya.
Beliau memberitahu berdasarkan siasatan awal mendapati sumber kerugian adalah wang simpanan milik mangsa sendiri.
Dalam pada itu beliau berkata, pihak polis kontinjen Pahang menasihatkan orang ramai agar membuat semakan dan pengesahan menyeluruh terhadap platform, syarikat serta individu yang menawarkan pelaburan, sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.
“Jangan mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang lumayan,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE