fbpx
SEMANGAT setiakawan penting dalam menjayakan ekspedisi konvoi bermotosikal.

40 motosikal ke Krabi dan Hatyai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KRABI dan Hat Yai merupakan dua destinasi percutian yang semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.

Kedua-dua lokasi yang terletak di selatan Thailand itu menawarkan gabungan menarik antara keindahan alam semula jadi, budaya tempatan yang unik serta makanan yang memikat selera.

Dengan kemudahan akses melalui jalan darat, Krabi dan Hat Yai turut muncul sebagai destinasi pilihan ideal bagi konvoi bermotosikal dari Malaysia.

Sehubungan itu, tidak hairanlah apabila kumpulan-kumpulan penunggang motosikal seperti Rangga Bikers memilih dua lokasi ini sebagai destinasi utama dalam ekspedisi mereka pada bulan Mei lalu.

Menurut wakil Rangga Bikers, Mohd. Zuraini Helmi, tujuan ekspedisi tersebut bukan sahaja untuk bersantai dan menikmati pemandangan, tetapi juga untuk mengeratkan ukhuwah dan menjalankan misi kebajikan sepanjang perjalanan.

“Setelah jelajah selatan Thailand yang melibatkan Narathiwat, Yala dan Pattani pada November lalu, kami bersama-sama merancang untuk melanjutkan ekspedisi ke Krabi dan Hat Yai.

KIRA-KIRA 60 orang peserta menyertai konvoi ke Krabi dan Hat Yai, Thailand pada Mei lalu.

“Sambil itu, kami juga berminat untuk menyampaikan sumbangan kepada komuniti Islam di Krabi, khususnya Masjid Ao Nang sebagai tanda solidariti dan keprihatinan.

“Konvoi tersebut disertai kira-kira 60 orang peserta dengan jumlah motosikal mencecah sekitar 40 buah,” katanya.

Para peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang, termasuk penunggang solo serta pasangan suami isteri yang memilih untuk menyertai tanpa membawa anak, menjadikan perjalanan ini lebih santai dan teratur.

Kehadiran pelbagai kategori peserta turut memeriahkan suasana dan menambahkan nilai kekeluargaan dalam konvoi tersebut.

Perjalanan konvoi bermula dari Kuala Lumpur, di sini para peserta berkumpul sebelum memulakan perjalanan menuju ke utara melalui Lebuhraya Utara-Selatan.

Setelah menempuh perjalanan jarak jauh merentas beberapa negeri, peserta konvoi itu tiba di pintu sempadan Bukit Kayu Hitam, Kedah dan melintasi sempadan ke Danok, Thailand.

Dari situ, kumpulan konvoi tersebut meneruskan laluan ke Phatthalung, sebuah wilayah yang terkenal dengan tasik semula jadi dan suasana tradisional Thailand.

Perjalanan kemudian diteruskan ke destinasi utama iaitu Krabi yang terkenal dengan pantai memukau dan formasi batu kapur yang menakjubkan.

Setelah menikmati keindahan Krabi, rombongan konvoi bergerak ke Hat Yai, sebuah pusat bandar meriah yang popular dalam kalangan pelancong dari Malaysia.

Kongsi pegawai bank tersebut, konvoi itu mengambil masa selama empat hari tiga malam yang padat dengan aktiviti menarik dan penuh pengalaman bermakna.

SUMBANGAN turut disampaikan kepada Masjid Ao Nang sebagai tanda solidariti dan keprihatinan.

“Di Krabi, peserta menikmati aktiviti island hopping serta berpeluang menyampaikan sumbangan kepada Masjid Ao Nang sebagai tanda keprihatinan.

“Di Hat Yai pula, aktiviti lebih kepada konsep ‘free and easy’, peserta boleh menikmati makanan tempatan dan meluangkan masa mengikut keselesaan masing-masing,” katanya.

Untuk perancangan masa depan, Rangga Bikers bercadang untuk menjelajah lebih jauh ke utara Thailand seperti Phuket, Koh Samui dan Bangkok.

Walau bagaimanapun, destinasi-destinasi tersebut memerlukan perancangan yang lebih rapi dan jangka masa panjang.

Kata lelaki berusia 45 tahun itu lagi, semangat setiakawan para peserta memainkan peranan penting dalam menjayakan ekspedisi ke selatan Thailand itu.

“Sepanjang perjalanan, semangat setiakawan jelas terpancar dalam kalangan peserta konvoi.

“Setiap kali berlaku kerosakan motosikal atau sebarang masalah teknikal, para penunggang lain tidak teragak-agak untuk menghulurkan bantuan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN