PETALING JAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menafikan sekeras-kerasnya satu kenyataan bertarikh 5 Jun lalu yang tular di media sosial berhubung garis panduan pengagihan daging korban di masjid sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah, Ismail Mokhtar dalam satu kenyataan berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan atau garis panduan seperti yang dinyatakan dalam kenyataan palsu itu.
“Jabatan Imigresen Malaysia mengambil maklum mengenai penularan kenyataan berkenaan, namun ingin menegaskan bahawa ia adalah tidak benar dan tidak dikeluarkan oleh pihak jabatan ini.
“Penyebaran maklumat itu tidak benar. Bukan itu sahaja, menimbulkan kekeliruan malah berpotensi mencetuskan salah faham dalam kalangan masyarakat.
“Penyebaran maklumat palsu adalah satu perkara serius yang boleh menimbulkan kekeliruan awam. Penggunaan lambang rasmi dan nama jabatan tanpa kebenaran adalah satu kesalahan undang-undang dan tindakan tegas boleh diambil terhadap individu yang terlibat,” ujarnya hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar hanya merujuk kepada saluran rasmi Jabatan Imigresen Malaysia untuk mendapatkan maklumat yang sahih dan tepat. Di samping itu, JIM turut mengingatkan agar masyarakat berhati-hati dan bertanggungjawab sebelum menyebarkan sebarang maklumat yang belum disahkan kesahihannya.
JIM turut menghargai kerjasama semua pihak dalam menyalurkan serta berkongsi maklumat yang sahih, demi memastikan ketenteraman dan kepercayaan awam terus terpelihara.
Orang ramai diminta untuk melaporkan sebarang maklumat meragukan kepada pihak berkuasa dan tidak terlibat dalam penyebaran berita palsu yang boleh merosakkan reputasi institusi serta menggugat keharmonian masyarakat. – KOSMO! ONLINE