MUNICH – Pengendali Sepanyol, Luis de la Fuente optimis pasukannya dapat melakar sejarah dengan menjadi negara pertama mempertahankan trofi Liga Negara-Negara Eropah (UNL) menjelang aksi final bertemu Portugal awal pagi esok.
Sebagai rekod, skuad La Roja merupakan juara bertahan selepas menang edisi 2023 dan kini berpeluang untuk mengulangi sejarah dengan menjulang trofi antarabangsa buat tahun ketiga berturut-turut apabila turut mendominasi Euro 2024.
Sebelum ini, Sepanyol pernah melakar gelaran ‘hatrik’ dengan mendominasi saingan antarabangsa ketika bergelar juara Euro 2008 dan Euro 2012 selain Piala Dunia 2010.
De la Fuente mengakui barisan pemain kini cukup bersemangat untuk memberikan yang terbaik meskipun aksi menentang Portugal nanti dijangka sukar kerana memiliki ramai tonggak berkualiti.
“Bukan mudah untuk layak ke pentas final tiga tahun berturut-turut tetapi barisan saya sentiasa dahagakan kejayaan. Mereka mahukan trofi untuk terus mendominasi saingan di pentas antarabangsa.
“Semangat mereka begitu membara tidak kira pemain muda atau senior dan harap kita dapat mengulangi sejarah yang lepas,” katanya.
Mengulas mengenai strategi perlawanan, De La Fuente mengakui akan terus memberi kepercayaan buat Mikel Oyarzabal dan Mikel Merino untuk pacu jentera serangan pasukan kali ini.
“Saya rasa keserasian kedua-dua pemain ini sangat baik kerana mereka tidak hanya menunggu bola sahaja, sebaliknya turut mampu mencipta peluang buat rakan sepasukan. Malah, saya kagum dengan penyudah Merino yang makin ampuh,” katanya.
Sementara itu, Merino mengakui pasukan perlu belajar daripada kesilapan pada aksi bertemu Perancis selepas dibolosi tiga gol pada minit-minit akhir perlawanan meskipun melakar kemenangan tipis 5-4.
“Saya pasti jurulatih sudah ada strategi tersendiri dan saya juga sedia untuk membantu pasukan jika diturunkan. Mungkin saya tidak hebat menggelecek seperti Lamine Yamal, tapi saya boleh berikan tekanan buat pertahanan lawan,” katanya. – AGENSI