SHAH ALAM – Selebriti terkenal yang ditahan berhubung kes amang seksual terhadap remaja perempuan berusia 17 tahun baru-baru ini didakwa baru kali pertama membawa mangsa ke hotel.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, maklumat tersebut diperoleh selepas pihaknya menjalankan soal siasat ke atas lelaki tersebut.
Katanya, suspek dan mangsa yang juga pelajar berkenalan kira-kira dua bulan lalu.
“Mereka pernah berhubung sebelum ini, namun itu adalah kehadiran pertama mereka berjumpa (di hotel).
“Ini juga kali pertama suspek melakukan kes amang seksual. Tempoh perkenalan singkat dalam satu atau dua bulan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Menurut beliau, suspek telah ditangkap dan keterangannya dirakamnya. Lelaki itu kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis.
Kosmo! semalam melaporkan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar mengesahkan kertas siasatan melibatkan seorang artis lelaki sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792). – KOSMO! ONLINE